Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Kementerian Pembangunan Sosial Gaza memaklumkan bahawa semenanjung Gaza kini kembali berdepan kebuluran yang semakin meruncing susulan sekatan berterusan rejim Israel terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan, selain kemerosotan ekonomi dan keruntuhan perkhidmatan asas ketika perang genosid memasuki hari ke-1,000.


Jurucakap kementerian itu, Azmi Al-Bitar berkata jumlah bantuan yang dibenarkan memasuki Gaza melalui pintu sempadan ketika ini hanya memenuhi kira-kira 25 peratus daripada keperluan sebenar bagi lebih dua juta penduduk di wilayah tersebut.


Beliau berkata setiap bungkusan bantuan makanan yang tiba hanya mampu menampung keperluan sebuah keluarga yang terdiri daripada lima orang selama tidak melebihi seminggu, dengan andaian hanya satu hidangan sehari, sekali gus gagal memenuhi keperluan pemakanan minimum penduduk.


Menurut beliau, kebuluran yang semakin memburuk turut berpunca daripada lumpuhnya aktiviti ekonomi serta kehilangan sumber pendapatan rakyat. Statistik Kementerian Buruh Gaza menunjukkan kadar pengangguran kini mencecah hampir 80 peratus, manakala kira-kira 60,000 penjawat awam menanggung hampir 400,000 ahli keluarga tanpa memiliki pendapatan tetap.


Beliau menjelaskan bahawa kawalan rejim Israel terhadap kemasukan lori perdagangan turut menyumbang kepada kenaikan mendadak harga barangan keperluan sehingga di luar kemampuan sebahagian besar penduduk.


Katanya, majoriti penduduk Gaza kini hidup dalam keadaan tidak mempunyai jaminan makanan, dengan kebanyakan mereka hanya mampu menikmati satu hidangan setiap hari. Lebih 400,000 keluarga, mewakili hampir dua juta penduduk kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan bagi mendapatkan bekalan makanan dan tempat perlindungan.


Dalam perkembangan berkaitan, Al-Bitar berkata Gaza memerlukan sekitar 300,000 buku roti setiap hari, namun pengeluaran semasa hanya mencecah 200,000 buku. Keadaan itu diburukkan lagi dengan pengurangan operasi dapur komuniti serta penyusutan jumlah bantuan yang dibenarkan memasuki Gaza.


Beliau turut mendedahkan bahawa perjanjian gencatan senjata yang mula berkuat kuasa pada Oktober tahun lalu memperuntukkan kemasukan 600 lori bantuan dan barangan setiap hari ke Gaza. Bagaimanapun, rejim Israel hanya membenarkan antara 120 hingga 150 lori memasuki wilayah itu setiap hari, termasuk bantuan kemanusiaan dan barangan komersial.


Menurut beliau, operasi World Central Kitchen (WCK) juga mengalami penyusutan ketara apabila jumlah hidangan yang disediakan merosot daripada hampir sejuta hidangan sehari kepada sekitar 300,000 hidangan sahaja.


Al-Bitar menegaskan bahawa krisis kemanusiaan di Gaza dijangka terus meruncing sekiranya sekatan terhadap bantuan tidak ditamatkan, dengan kebuluran yang semakin meluas serta kegagalan memenuhi keperluan asas ratusan ribu keluarga di wilayah tersebut.


Sumber: Shehab News

Written by
Admin
Published on
July 3, 2026