.png)
Sekurang-kurangnya 11 rakyat Palestin terbunuh dan puluhan lagi cedera pada Isnin semalam dalam serangan pembantaian yang dilancarkan oleh pasukan tentera rejim Israel di timur Kem Pelarian al-Maghazi, tengah Gaza.
Menurut sumber media Palestin, sejumlah mangsa terbunuh apabila tentera rejim mengebom dan melancarkan serangan menggunakan dron menyasarkan satu himpunan penduduk di kawasan itu. Insiden ini tercetus di tengah-tengah pertembungan antara warga penduduk dan kumpulan pengkhianat bersenjata yang beroperasi dengan sokongan daripada pihak rejim.
Walaupun laporan awal menyebutkan jumlah kematian seramai tujuh orang, kemas kini daripada sumber lapangan dan perubatan kemudian mengemaskini jumlah mereka yang gugur terbunuh kepada sekurang-kurangnya 11 orang, dengan puluhan lagi cedera, termasuk beberapa dalam keadaan kritikal.
Mangsa yang mengalami kecederaan kemudiannya dibawa ke Hospital Syuhada al-Aqsa di tengah Gaza, di mana sumber perubatan melaporkan pelbagai kecederaan termasuk beberapa daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.
Laporan lapangan menunjukkan bahawa insiden bermula apabila kumpulan pengkhianat yang dikaitkan dengan rejim Israel mula bergerak ke kawasan timur al-Maghazi di bawah perlindungan udara tentera rejim. Saksi berkata kumpulan bersenjata itu bergerak ke arah rumah kediaman warga penduduk yang terletak berhampiran garisan kuning, cuba mengepung rumah-rumah, melakukan pemeriksaan, sebelum bertindak menahan penduduk dan merampas harta benda.
Penduduk bertindak balas dengan menentang dan menghalang kumpulan pengkhianat itu daripada memasuki rumah, yang kemudiannya mencetuskan pergaduhan sebelum kumpulan bersenjata bertindak melepaskan tembakan ke arah orang awam. Ketika konfrontasi semakin tegang, dron milik rejim Israel melancarkan serangan ke arah kawasan di mana orang awam sedang berkumpul.
Sumber tempatan yang dipetik oleh Quds News Network (QNN) berkata campur tangan udara itu berlaku selepas kumpulan pengkhianat berada dalam keadaan tersepit, sebelum pasukan rejim membantu membawa mereka keluar selepas mereka dikepung di kawasan al-Maghazi.
Dalam satu kenyataan oleh pasukan Rad’a, yang dipetik oleh media tempatan, penduduk telah menggagalkan cubaan kumpulan pengkhianat untuk menceroboh rumah dan menculik orang awam di bawah perlindungan udara rejim Israel.
Kenyataan yang sama turut menyebutkan bahawa selepas percubaan serbuan gagal, kumpulan pengkhianat kemudian melepaskan tembakan, dan serangan udara rejim Israel ke kawasan berkenaan mengakibatkan pelbagai kematian dan kecederaan.
Dalam insiden berasingan pada hari yang sama, Kementerian Kesihatan Gaza berkata sebuah kenderaan yang digunakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) diserang di Khan Yunis semasa misi rutin di kawasan yang diklasifikasikan sebagai misi yang diluluskan mengakibatkan seorang pemandu terbunuh.
Kementerian itu menyatakan bahawa penyasaran kenderaan tersebut mencerminkan serangan berterusan terhadap petugas perubatan dan kemanusiaan, serta memberi amaran berkenaan tekanan tambahan terhadap sistem kesihatan Gaza yang sudah berada di ambang keruntuhan.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, jumlah keseluruhan kematian di semenanjung Gaza telah meningkat kepada 72,292 orang, dengan 172,028 kecederaan. Sejak gencatan senjata bermula, pasukan rejim Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 716 rakyat Palestin dan mencederakan 1,968 lagi, sementara ratusan mayat tambahan telah ditemui dari bawah runtuhan.
Sumber: The Palestine Chronicle