Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Dua anggota tentera rejim Israel terbunuh manakala tujuh lagi cedera selepas sebuah bangunan yang dipenuhi bahan letupan meletup ketika operasi ketenteraan di pekan Majdal Zoun, selatan Lubnan, pada Rabu.Menurut media Israel, letupan berlaku ketika sekumpulan anggota Briged Ke-55 berada di dalam bangunan berkenaan yang sebelum ini berada di bawah kawalan tentera Israel.

Media Israel melaporkan seorang lagi anggota tentera berada dalam keadaan kritikal dan sedang menjalani pembedahan kecemasan akibat kecederaan parah yang dialaminya.Kesemua anggota yang cedera dilaporkan dipindahkan menggunakan helikopter tentera ke beberapa hospital di wilayah haram Israel untuk menerima rawatan.

Insiden itu berlaku ketika tentera rejim Israel terus melancarkan operasi ketenteraan di selatan Lubnan.

Menurut laporan media Lubnan, tentera rejim Israel turut melancarkan serangan udara di kawasan antara al-Mansouri dan Majdal Zoun, selain meneruskan operasi merobohkan bangunan di Kfartebnit, al-Mansouri, Haddatha dan Zawtar al-Sharqiyah.

Tentera rejim Israel juga dilaporkan menjalankan operasi menggunakan jentolak di pinggir Kfar Shouba, melepaskan tembakan mesingan serta menembak suar di kawasan Kfar Roumman di daerah Nabatieh.

Insiden letupan itu berlaku ketika pusingan baharu rundingan tajaan Amerika Syarikat (AS) antara Lubnan dan rejim Israel sedang berlangsung di Rom bagi membincangkan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata.

Sumber kepimpinan Lubnan dilaporkan masih ragu-ragu bahawa rejim Israel akan bersetuju dengan cadangan pengunduran tenteranya dari beberapa kawasan di selatan Lubnan, manakala tentera Lubnan menolak sebarang peranan rejim itu dalam memantau penempatan pasukan mereka di wilayah tersebut.


Sumber: Shehab News, The Palestine Chronicle

Written by
Admin
Published on
August 6, 2026