Perang kebuluran yang dilancarkan oleh rejim Israel ke atas Gaza kini mencapai tahap paling kritikal. Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Dr. Munir Al-Bursh, dalam tempoh hanya 48 jam, seramai 20 orang dilaporkan maut akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan yang melampau. Ini merupakan jumlah kematian akibat kebuluran tertinggi dalam tempoh sesingkat itu sejak permulaan jenayah genosid.
Jumlah keseluruhan kematian berkaitan kebuluran kini meningkat kepada 87 orang, termasuk 77 kanak-kanak dan 10 orang dewasa. Pegawai kesihatan memberi amaran bahawa jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi memandangkan bantuan makanan dan akses kepada rawatan perubatan terus disekat sepenuhnya.
Dalam tempoh 24 jam terakhir, seramai 95 rakyat Palestin terbunuh berhampiran pusat bantuan yang dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF). Pusat-pusat ini kini berubah menjadi perangkap maut bagi penduduk yang kelaparan. Jumlah keseluruhan korban di kawasan sekitar pusat bantuan itu kini mencecah seramai 1,017 terbunuh dan 6,453 cedera.
Dr. Munir Al-Bursh turut mengesahkan sebanyak 47 kes sindrom Guillain-Barré (GBS) telah dikesan di Gaza, dipercayai berpunca daripada kekurangan zat makanan berpanjangan serta pencemaran air. Daripada jumlah tersebut, 18 pesakit merupakan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun. Rawatan kritikal yang diperlukan iaitu immunoglobulin intravena (IVIG), tidak dapat disalurkan ke Gaza berikutan sekatan sepenuhnya terhadap bekalan perubatan.
Keadaan petugas kesihatan di Gaza juga semakin kritikal. Ramai doktor dan jururawat dilaporkan hanya mampu makan sekali sehari, namun sejak Ahad lalu, hidangan tunggal itu turut tidak lagi tersedia.
Situasi di Gaza semakin kritikal. Kebuluran kini menjadi senjata utama yang digunakan rejim Israel untuk menghancurkan seluruh rakyat Gaza. Komuniti antarabangsa terus didesak untuk bertindak segera menghentikan kekejaman ini sebelum lebih ramai lagi menjadi mangsa dalam perang yang mengabaikan nilai kemanusiaan ini.
Sumber: Quds News Network