Pejabat Media Kerajaan Gaza mengeluarkan laporan tragis mengenai jumlah rakyat Palestin yang terbunuh dan cedera ketika cuba mendapatkan bantuan makanan di pusat bantuan yang dikendalikan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel di Rafah dan Gaza Tengah. Pusat bantuan itu digambarkan sebagai ‘perangkap maut’.
Antara 27 Mei hingga 15 Jun, tentera Israel membunuh 300 penduduk awam yang kelaparan dan mencederakan 2,649 orang lain di sekitar kawasan pengagihan bantuan. Serangan dilakukan dengan kereta kebal, helikopter dan dron ke atas rakyat Palestin tidak bersenjata yang sedang mencari makanan.
“Ini bukan insiden terpencil,” kata kenyataan Pejabat Media. “Tentera pendudukan Israel sengaja membunuh rakyat yang kelaparan; pemuda, warga emas dan kanak-kanak yang sedang mencari makanan.”
Laporan itu juga menuduh bahawa Israel menggunakan Gaza Humanitarian Foundation (GHF), yang beroperasi di bawah seliaan AS dan Israel sebagai alat untuk mengheret penduduk awam ke zon tembakan tentera.
“Institusi ini adalah alat kotor dalam tangan tentera pendudukan dan berfungsi sebagai topeng kepada jenayah pembunuhan beramai-ramai yang terancang,”
jelas kenyataan tersebut.
Rekod Harian Mangsa (27 Mei – 15 Jun):
Jumlah korban juga termasuk 9 individu yang dilaporkan hilang. Ramai dikhuatiri telah terbunuh dan mayat mereka belum dapat dikeluarkan dari zon serangan.
Pejabat Media Gaza menegaskan bahawa Israel menggunakan kebuluran sebagai senjata perang.
“Rejim Israel sengaja mencipta kekacauan menyeluruh di Semenanjung Gaza dengan menegakkan sekatan makanan dan membunuh rakyat yang kelaparan secara terancang,” kata kenyataan itu.
Foto dan rakaman dari Gaza menunjukkan orang awam berlari meredah padang terbuka atau berkerumun di sekitar trak bantuan, hanya untuk ditembak beberapa saat kemudian. Beberapa pertubuhan hak asasi manusia telah menyeru kepada siasatan antarabangsa.
Laporan ini menambah kepada bukti yang semakin banyak bahawa bantuan digunakan oleh Israel bukan untuk menyelamatkan nyawa, tetapi sebagai umpan perang.
Sumber: Quds News Network