
Pejabat Media Tahanan Palestin memaklumkan bahawa pihak berkuasa rejim Israel terus menahan kira-kira 360 orang kanak-kanak Palestin di penjaranya, termasuk 65 orang pelajar yang sedang membuat persediaan bagi menduduki peperiksaan sekolah menengah.
Sementara itu, Persatuan Tahanan Palestin (PPS) melaporkan seramai 65 orang pelajar sekolah menengah masih berada dalam tahanan rejim Israel dan tidak dapat menduduki peperiksaan sekolah menengah tahun ini, berdasarkan data daripada Kementerian Pendidikan Palestin.
Sejak bermulanya genosid di Gaza, para pelajar terbabit berdepan pelbagai layanan buruk termasuk penyeksaan, penderaan, pemisahan daripada keluarga serta dinafikan salah satu hak asasi mereka, iaitu hak untuk mendapatkan pendidikan.
Dalam satu kenyataan, organisasi itu berkata pihak berkuasa rejim Israel turut meningkatkan siri penahanan menyasarkan golongan pelajar daripada pelbagai peringkat pendidikan di Tebing Barat. PPS menjelaskan bahawa hak-hak yang sebelum ini diperjuangkan dan dinikmati oleh tahanan Palestin, termasuk akses kepada pendidikan kini telah ditarik balik, manakala keadaan di pusat tahanan semakin merosot.
Menurutnya, hak mendapatkan pendidikan merupakan antara hak paling penting yang diperjuangkan oleh tahanan Palestin sejak sekian lama, meskipun pihak pentadbiran penjara berulang kali cuba menafikannya.
Walau bagaimanapun, para tahanan sebelum ini berjaya mempertahankan hak tersebut. Namun, sejak tercetusnya genosid, sistem penjara rejim Israel didakwa telah melucutkan semua hak mereka dan mengubah penjara menjadi ruang terbuka yang menyaksikan penyeksaan dan penderaan berlaku sepanjang masa.
Sehubungan dengan itu, organisasi tersebut menggesa badan hak asasi manusia antarabangsa serta agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan dengan hak asasi manusia, hak kanak-kanak dan hak pendidikan agar mengambil tindakan segera terhadap peningkatan jenayah yang dilakukan ke atas pelajar Palestin yang ditahan.
Mereka turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk memberi tekanan kepada rejim Israel supaya menghentikan dasar yang menyasarkan pelajar dan menafikan hak mereka terhadap pendidikan, melindungi kanak-kanak serta pelajar yang dipenjarakan dan menamatkan amalan penyeksaan sistematik yang didakwa melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Konvensyen Hak Kanak-Kanak serta Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (ICESCR).
Sumber: Shehab News, WAFA Agency