.png)
Empat rakyat Palestin syahid selepas tentera rejim Israel dan sekumpulan pendatang haram Yahudi Israel melancarkan serangan ke atas bandar Tel, barat daya Nablus, sekali gus mencetuskan operasi ketenteraan berskala besar di seluruh Tebing Barat yang diduduki.
Insiden itu bermula apabila sekumpulan pendatang haram Yahudi menyerbu dan menyerang kejiranan penduduk Palestin di bandar Tel, tetapi gagal. Mereka kemudiannya mencederakan seorang rakyat Palestin pada kakinya sebelum berundur dan kembali semula ke perkampungan tersebut dengan senjata.
Menurut saksi dan media Palestin, Sheikh Farouq Ramadan cuba mempertahankan diri dan keluarganya selepas diserang sebelum merampas senjata api milik salah seorang penyerang dan melepaskan tembakan, sekali gus mengorbankan dua pendatang haram Israel.
Tidak lama kemudian, tentera rejim Israel melepaskan tembakan ke arah Ramadan dan ahli keluarganya. Beliau bersama tiga lagi anggota keluarganya dilaporkan syahid dalam kejadian tersebut.
Pihak berkuasa rejim Israel mendakwa Ramadan sebagai ‘pelampau’ yang memulakan serangan yang membunuh dua warga haram Israel, manakala media Palestin serta penduduk tempatan menegaskan beliau bertindak mempertahankan diri selepas pendatang haram menyerang tanah miliknya.
Dalam perkembangan berkaitan, bekas Pegawai Kanan Perisikan Tentera rejim Israel, Michael Milstein memberi amaran bahawa Tebing Barat kini sedang menuju ke arah situasi yang semakin berbahaya susulan peningkatan serangan oleh pendatang haram Yahudi.
Dia turut mengkritik dasar ‘revolusi’ yang diperkenalkan oleh Menteri Kewangan negara haram Israel, Bezalel Smotrich yang menurutnya menggalakkan peluasan penempatan haram yang boleh membawa kepada pembersihan etnik rakyat Palestin di Tebing Barat.
Sumber: Shehab News, Le Monde