Sepuluh rakyat Palestin, termasuk enam kanak-kanak yang sedang beratur untuk mendapatkan air bersih, terbunuh dalam satu serangan udara rejim Israel di tengah Gaza pada Ahad. Lebih 12 orang turut cedera dalam serangan tersebut.
Rejim Israel mendakwa serangan maut itu berpunca daripada masalah teknikal ketika cuba menyasarkan tembakan ke arah seorang anggota gerakan pejuang Jihad Islami Palestin (PIJ).
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, angka korban akibat genosid yang dilancarkan sejak Oktober 2023 kini melepasi 58,000 orang. Pada Ahad sahaja, sekurang-kurangnya 139 nyawa terkorban, termasuk kanak-kanak di lokasi agihan air tersebut.
Hospital al-Awda di Nuseirat mengesahkan bahawa enam orang kanak-kanak termasuk dalam senarai korban, sementara sekurang-kurangnya tujuh lagi kanak-kanak mengalami kecederaan. Mangsa dilaporkan sedang beratur untuk mengambil air di kawasan kem baharu di barat laut Nuseirat.
Dalam kenyataan rasmi, tentera rejim Zionis berkata bahawa mereka menyasarkan seorang pejuang. Namun, disebabkan kegagalan teknikal pada peluru yang digunakan, ia jatuh beberapa puluh meter dari sasaran asal.
Rejim Zionis juga meluahkan kekesalan mereka di atas sebarang kecederaan terhadap orang awam dan mendakwa sedang berusaha mengurangkan kemudaratan terhadap mereka.
Namun, angka korban harian terus meningkat secara mendadak dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Terkini, jumlah kematian melebihi 100 orang setiap hari – satu angka yang amat mengejutkan bagi wilayah yang sedang menghadapi kebuluran besar-besaran dan keruntuhan perkhidmatan asas.
Beberapa badan antarabangsa telah berulang kali memberi amaran bahawa Gaza kini hampir tidak lagi layak dihuni. Namun, sehingga kini, tiada tindakan bermakna diambil untuk menghentikan pertumpahan darah ini.
Sumber: Quds News Network