
Rejim Israel kembali mengganas dengan meningkatkan serangan terhadap Gaza ketika usaha pelaksanaan pelan gencatan senjata masih belum mencapai kesepakatan. Terbaharu, serangan udara rejim Israel ke atas sebuah kafe di kawasan pelabuhan bandar Gaza pada Selasa mengorbankan sekurang-kurangnya enam rakyat Palestin dan mencederakan 14 yang lain.
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan bahawa mangsa dibawa ke Kompleks Perubatan al-Shifa, dengan sebahagian daripada mereka dilaporkan mengalami kecederaan serius. Sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak turut dilaporkan menjadi mangsa.
Serangan itu berlaku beberapa hari selepas rejim Israel kembali melakukan operasi pembunuhan bersasar di Gaza, termasuk serangan yang mengorbankan Ketua Polis Gaza, Jamal Abu Kamil. Perkembangan tersebut menimbulkan kebimbangan bahawa serangan rejim itu semakin meningkat walaupun gencatan senjata telah dikuatkuasakan.
Menurut laporan, kawasan pelabuhan tersebut kini menjadi lokasi perlindungan bagi keluarga Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat perang. Justeru, serangan ke atas kafe berkenaan turut mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan orang awam yang berlindung di kawasan itu.
Tentera rejim Israel mendakwa serangan itu menyasarkan komander HAMAS dan beberapa anggota lain yang didakwa merancang serangan terhadap tentera tersebut. Namun, rejim itu tidak mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan tersebut.
Gerakan Mujahidin Palestin (PMM) mengecam tindakan itu dan menamakannya sebagai sebuah jenayah perang terhadap orang awam, sambil mendakwa bahawa serangan terhadap kawasan awam menunjukkan rejim Israel tetap meneruskan serangannya walaupun usaha pengantaraan sedang dijalankan.
Popular Front for the Liberation of Palestine (PFLP) pula menyifatkan serangan itu sebagai pembunuhan beramai-ramai di pelabuhan dan mendakwa bahawa rejim Israel tidak menghormati perjanjian gencatan senjata.
Perkembangan itu berlaku ketika rundingan mengenai pelan damai yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS) masih buntu. Pelan tersebut antara lain mencadangkan penghentian operasi ketenteraan, pelucutan senjata HAMAS secara berperingkat dan pengunduran tentera rejim Israel dari Gaza.
Namun, Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu menolak pelan berkenaan dan berpegang pada pendirian bahawa HAMAS perlu dilucutkan sepenuhnya sebelum sebarang pengunduran tentera rejim Israel.
Penganalisis melihat peningkatan serangan ini sebagai petunjuk bahawa tekanan AS terhadap rejim Israel masih belum berjaya memastikan pelaksanaan sepenuhnya gencatan senjata dan pelan damai.
PFLP turut memberi amaran bahawa pilihan raya negara haram Israel yang semakin hampir boleh mendorong peningkatan ketegangan, dengan mendakwa nyawa rakyat Palestin berisiko dijadikan sebahagian daripada perhitungan politik dalaman Netanyahu.
Dalam perkembangan terbaharu itu, serangan di pelabuhan Gaza sekali lagi menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan gencatan senjata serta masa depan usaha diplomatik untuk menghentikan konflik di Gaza.
Sumber: Shehab News, The Palestine Chronicle