Gaza kini hampir musnah sepenuhnya selepas lebih 700 hari pengeboman berturut-turut oleh rejim Israel, dengan 90 peratus infrastruktur wilayah itu dimusnahkan dan kerugian dianggarkan melebihi USD68 bilion (RM320 bilion), menurut laporan rasmi Pejabat Media Kerajaan Gaza (GMO).
Dalam satu kenyataan pada Isnin, GMO menyatakan bahawa serangan berterusan Israel sejak Oktober 2023 telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 76,600 penduduk Palestin terbunuh, manakala 9,500 lagi dilaporkan hilang di bawah runtuhan bangunan.
Daripada jumlah korban itu, lebih 20,000 merupakan kanak-kanak, 12,500 wanita, serta 2,700 keluarga telah terhapus sepenuhnya daripada daftar penduduk.
Selain itu, 1,670 petugas kesihatan, 248 wartawan, 139 anggota pertahanan awam, dan 173 pekerja majlis perbandaran turut menjadi korban.
Lebih 162,000 lagi dilaporkan cedera, termasuk ramai yang mengalami kecederaan kekal seperti kehilangan anggota badan, lumpuh, dan buta akibat serangan udara dan peluru berpandu yang tidak henti-henti.
Pejabat Media Gaza turut melaporkan bahawa 38 hospital, 833 masjid dan 163 institusi pendidikan telah dimusnahkan sepenuhnya, di samping ribuan kemudahan awam yang rosak teruk.
Kenyataan itu menuduh rejim Israel melaksanakan dasar sistematik pembunuhan beramai-ramai dan pengusiran paksa, selain menggunakan kebuluran sebagai senjata perang dengan menghalang kemasukan bantuan makanan, ubat-ubatan, dan bahan bakar.
Lebih 200,000 tan bahan letupan telah digugurkan ke atas wilayah Gaza sejak permulaan serangan, mengubah bandar-bandar utama menjadi padang jarak padang tekukur. Tentera penjajah kini menguasai lebih 80% kawasan Gaza melalui pencerobohan, kebakaran dan pemindahan paksa penduduk.
Menurut GMO, beratus ribu lori bantuan telah dihalang daripada memasuki Gaza, mengakibatkan 2.4 juta penduduk termasuk lebih sejuta kanak-kanak berada di ambang kebuluran.
“Rejim Israel terus melaksanakan genosid di Gaza walaupun terdapat desakan antarabangsa untuk menghentikan pengeboman bagi hari kedua berturut-turut,” kata kenyataan itu.
GMO menegaskan bahawa apa yang berlaku di Gaza adalah pemusnahan terancang terhadap keseluruhan rakyat dan tanah air Palestin sambil menuntut dunia Arab, Islam, dan masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk bertindak segera menamatkan pencerobohan, membuka sekatan, membenarkan kepulangan pelarian, dan mendakwa pemimpin Israel di mahkamah antarabangsa.
Serangan genosid Israel kini memasuki hari ke-700, dengan lebih 73,700 terbunuh atau hilang dan Gaza berubah menjadi wilayah yang tidak lagi layak didiami.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebelum ini telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.Selain itu, Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) susulan perang pemusnahan yang sedang berlangsung di Gaza.
Sumber: Anadolu Ajansi, Middle East Eye