
Qatar, Jordan, Indonesia, Turkiye, Pakistan, Arab Saudi, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengecam tindakan rejim Israel yang menutup Masjid al-Aqsa dalam bulan suci Ramadan yang kini memasuki hari ke-12 berturut-turut.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu semalam, menteri luar kelapan-lapan buah negara Arab dan Islam itu menyatakan bahawa sekatan rejim Israel terhadap rakyat Palestin ke Kota Lama Baitul Maqdis dan tempat ibadahnya merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa, status quo sejarah dan undang-undang, serta prinsip akses tanpa had ke tempat ibadah.
“Para menteri menegaskan penolakan dan kecaman mutlak terhadap langkah haram dan tidak wajar ini, serta tindakan provokatif rejim Israel yang berterusan di Masjid al-Aqsa (al-Haram al-Sharif) dan terhadap para jemaah Muslim. Mereka menekankan bahawa rejim Israel tidak mempunyai hak ke atas Baitul Maqdis yang diduduki atau tapak suci agama Islam dan Kristian,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menambah bahawa seluruh kawasan Masjid al-Aqsa adalah eksklusif untuk umat Islam dan bahawa Jabatan Wakaf Baitul Maqdis dan Hal Ehwal Masjid al-Aqsa, yang berada di bawah Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Jordan, adalah entiti sah dengan bidang kuasa eksklusif.
“Para menteri menyeru pihak Israel, sebagai kuasa pendudukan untuk segera membuka semula pintu Masjid al-Aqsa, menghentikan akses sekatan ke Kota Lama Baitul Maqdis, dan menghentikan halangan terhadap jemaah Muslim yang ingin menunaikan solat,” kenyataan itu menambah, sambil menyeru masyarakat antarabangsa memaksa rejim Israel menghentikan pelanggarannya yang berterusan.
Tentera rejim Israel telah mengenakan sekatan ketat terhadap jemaah dan akses ke Kota Lama, atas alasan ianya sebagai langkah keselamatan susulan perang yang sedang berlangsung terhadap Iran.
Namun, Kementerian Luar Palestin pada Rabu menyatakan bahawa penutupan berterusan ini menekankan bahawa polisi tersebut merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap hak rakyat Palestin, menurut agensi berita Palestin Wafa.
HAMAS turut mengecam penutupan berterusan Masjid al-Aqsa, menganggapnya sebagai tindakan bersejarah yang berbahaya serta pelanggaran terang-terangan terhadap kebebasan beribadah.
Sumber: Al Jazeera, Anadolu Ajansi