
Pertubuhan hak asasi manusia Palestin, al-Dameer telah mengemukakan aduan rasmi kepada Pejabat Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung kematian sembilan orang awam Palestin dari Gaza ketika berada dalam tahanan rejim Israel di kem tentera Sde Teiman.
Aduan yang difailkan di bawah Artikel 15 Statut Rom itu merangkumi kes-kes kematian antara Disember 2023 hingga Jun 2024 dan menggesa ICC memberi keutamaan kepada siasatan terhadap kem tahanan berkenaan.Menurut al-Dameer, kesemua tahanan yang berusia antara 25 hingga 75 tahun itu berada dalam keadaan sihat ketika ditahan. Mereka ditangkap dari rumah, sekatan tentera, pusat perlindungan penduduk yang dipindahkan, manakala dua lagi ditahan dari Hospital al-Shifa di bandar Gaza.
Pertubuhan itu menegaskan bahawa penahanan di hospital awam tersebut melanggar perlindungan yang diperuntukkan di bawah Konvensyen Geneva Keempat terhadap kemudahan perubatan awam.
Kesemua tahanan kemudiannya dipindahkan ke kem tentera Sde Teiman, di mana menurut aduan tersebut, mereka dinafikan hak menerima lawatan keluarga, akses kepada peguam serta lawatan daripada Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) sepanjang tempoh tahanan.
Al-Dameer memaklumkan bahawa kematian kesemua tahanan itu disahkan melalui maklum balas rasmi pihak berkuasa rejim Israel terhadap permohonan kebebasan maklumat. Bagaimanapun, pihak berkuasa rejim Israel enggan mendedahkan punca kematian, manakala semua jenazah masih belum dipulangkan kepada keluarga masing-masing.
Menurut aduan itu, enam daripada sembilan tahanan meninggal dunia dalam tempoh 20 hari selepas ditahan. Dua tahanan yang ditangkap di Hospital al-Shifa pada hari yang sama pula dilaporkan meninggal dunia dalam tempoh dua minggu, manakala dua lagi tahanan yang ditahan secara berasingan meninggal dunia pada tarikh yang sama selepas 98 hari berada dalam tahanan.
Berdasarkan corak kematian tersebut, al-Dameer berhujah terdapat asas munasabah untuk mempercayai bahawa kematian mereka berpunca daripada pembunuhan disengajakan, penyeksaan dan layanan tidak berperikemanusiaan.
Pertubuhan itu turut berhujah bahawa perbuatan berkenaan berkemungkinan merupakan jenayah perang di bawah Artikel 8(2)(a) Statut Rom serta jenayah terhadap kemanusiaan di bawah Artikel 7, termasuk jenayah kehilangan secara paksa.
Sehubungan dengan itu, al-Dameer menggesa Pejabat Pendakwa ICC memberi keutamaan kepada siasatan terhadap kematian tahanan di Sde Teiman, selain menggesa masyarakat antarabangsa menekan rejim Israel supaya mendedahkan punca kematian, memulangkan jenazah kepada keluarga mangsa serta memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Sumber: The Palestine Chronicle