Dalam pengumuman pada Jumaat, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah melantik Yechiel Leiter sebagai duta Israel ke Washington, beberapa hari selepas Donald Trump menang di dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) 2024.
"Yechiel Leiter merupakan seorang diplomat yang berkebolehan tinggi; mempunyai pemahaman mendalam tentang budaya dan politik Amerika," ujar Netanyahu.
Dikenali sebagai seorang sejarawan dan penganalisis polisi awam, Leiter juga terkenal sebagai individu yang aktif di dalam gerakan perluasan penempatan haram di Tebing Barat.
Sudah empat dekad Leiter menetap di Israel dan dalam tempoh masa itu, dia telah menubuhkan pertubuhan amal, One Israel Fund yang berpangkalan di AS. Pertubuhan itu menyediakan peralatan keselamatan dan bantuan kewangan kepada penempatan haram di Tebing Barat. Pada masa yang sama, Leiter juga paling kuat menyokong penempatan haram Yahudi di Tebing Barat, terutamanya di al-Khalil (Hebron).
Leiter pernah menggesa pengilhakan Tebing Barat menerusi artikel yang diterbitkan pada 2020. Bukunya A Peace Plan to Resist yang diterbitkan pada 1994, merupakan sebuah penentangan terhadap Perjanjian Oslo, bayangan Palestin sebagai negara merdeka.
Pelantikannya sebagai duta Israel ke AS disambut baik oleh ahli politik Israel memandangkan Leiter memiliki latar belakang politik yang kukuh — mantan pembantu Perdana Menteri Israel ke-11, Ariel Sharon dan merupakan anggota Liga Pertahanan Orang Yahudi.
Anak lelaki Leiter yang berkhidmat di dalam ketenteraan Israel dilaporkan maut di Gaza dalam serangan 2023.
Pelantikan Leiter dilihat sebagai satu agenda terbaharu Israel di bawah era Trump. Manakan tidak, ketika Trump menjadi Presiden AS ke-45, Israel secara agresif telah meluaskan penubuhan penempatan haram di beberapa kawasan di Tebing Barat. Jadi, tidak mustahil untuk penggal kedua ini, Israel akan memanfaatkan pentadbiran Trump untuk mengilhakan lebih banyak kawasan di Tebing Barat.
Di bawah penggal pertamanya juga, Trump telah mengiktiraf kawalan Israel ke atas Bukit Golan yang dijajah Israel sejak 1981 dan memindahkan Kedutaan AS ke Baitul Maqdis pada 2015.
Walaupun Trump pernah memberitahu Netanyahu untuk menyelesaikan perang Israel di Gaza sebelum di memasuki pejabatnya nanti, namun pelantikan Leiter tidak mustahil akan mengeruhkan keadaan di Gaza dan Tebing Barat pada masa akan datang.
Sumber: Foreign Policy, Middle East Eye