Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Pada minggu lalu, seorang aktivis Mesir, Anas Habib (27), menggari pintu masuk Kedutaan Mesir di Belanda dengan rantai besi sebagai simbol protes.


Tindakannya membawa mesej yang jelas, jika Mesir terus menutup sempadan Rafah kepada rakyat Gaza yang sedang kebuluran, maka kedutaan Mesir di luar negara juga wajar ditutup.


"Ia adalah jeritan hati nurani,"
kata Habib dalam satu siaran langsung. "Jika Rafah ditutup untuk bekalan ubat masuk, maka bangunan diplomatik yang berdiam diri ini juga patut ditutup."


Protes yang dilancarkan oleh Anas Habib disiarkan secara langsung di media sosial bukan sekadar aksi simbolik — ia mencetuskan gelombang solidariti. Dua hari kemudian, tiga wanita Belanda mengikut jejaknya dengan menggari pintu masuk Kedutaan Mesir di Belanda menggunakan rantai besi dan mangga.


Tidak lama selepas itu, Habib bersama seorang lagi aktivis, Adham Hassanein, mengunci pintu Kedutaan Jordan di The Hague sebagai protes terhadap sikap berdiam diri kerajaan Jordan terhadap krisis di Gaza.


Dalam temu bual penuh emosi bersama Quds News Network (QNN), "Apa yang berlaku di Gaza adalah jenayah, dan mereka yang berdiam diri, terutamanya yang berdekatan dan menggelar diri mereka Arab atau Muslim, adalah rakan sejenayah." katanya lagi. 


Habib percaya bahawa perubahan tidak akan datang dengan mudah. Beliau mahu rakyat Mesir sedar bahawa memperjuangkan Gaza juga bermaksud memperjuangkan kebebasan mereka sendiri.


"Sistem pemerintahan di Kaherah adalah boneka Israel dan Amerika Syarikat (AS). Ia adalah pengkhianat. Ia telah mengkhianati kita semua. Bagaimana mungkin seorang pengkhianat memerintah negara kita?"


Beliau menyambung: "Jika Mesir bebas dan rakyatnya berkuasa, Gaza tidak akan kebuluran. Kami tidak minta tentera Mesir lawan Israel. Kami hanya minta mereka berhenti membantu Israel membiarkan saudara-saudara kita mati kelaparan."


Walaupun menerima ugutan daripada penyokong kerajaan Mesir, Habib kekal teguh dengan pendiriannya. Polis Belanda turut memberinya dua pilihan, sama ada meninggalkan negara itu atau berdepan penahanan. Habib memilih untuk pergi, namun dengan semangat yang lebih membara daripada sebelumnya.


"Saya harap tindakan ini tersebar ke seluruh dunia
. Tutup setiap kedutaan yang membantu pembunuhan beramai-ramai ini. Biar kerajaan-kerajaan ini rasa tekanan rakyat, walaupun dari luar negara," katanya lagi.


Habib mengakhiri temu bualnya dengan mesej kepada rakyat Mesir:


“Jika kamu tertindas dan marah, ketahuilah ini: perubahan menuntut pengorbanan. Jangan harapkan kebebasan datang secara percuma. Jalannya sukar, tetapi kebenaran itu teguh, dan sesiapa yang memikulnya mesti berani dan tabah. Jangan tunduk kepada kezaliman. Lawan ia.”



Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
July 24, 2025