Institusi Islam tertinggi Mesir, Al-Azhar menerima kecaman minggu ini selepas memadam kenyataan tegas yang mengecam pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Israel di Gaza daripada saluran media sosial rasminya, dipercayai selepas menerima tekanan daripada Kementerian Luar Negeri Mesir.
Kenyataan tersebut, yang disiarkan sebentar pada 22 Julai lalu, mengecam rejim Israel kerana melakukan jenayah genosid dan sengaja melaparkan rakyat Palestin di Gaza. Ia turut memberi amaran bahawa semua pihak yang menyokong jenayah itu secara langsung atau tidak langsung akan dipertanggungjawabkan.
“Sesiapa yang membekalkan senjata kepada entiti ini, menyokongnya melalui resolusi politik atau memberi kata-kata semangat yang penuh kepura-puraan adalah rakan sejenayah dalam pembunuhan beramai-ramai ini,” kata kenyataan Al-Azhar. “Mereka akan dibicarakan oleh Tuhan Yang Maha Adil, Maha Membalas, pada hari di mana tiada harta dan anak-anak yang akan menyelamatkan.”
Kenyataan itu dipadam tanpa sebarang penjelasan, sekali gus mencetuskan spekulasi meluas di media sosial.
Menurut laporan media Mesir, penarikan kenyataan itu berlaku selepas komunikasi langsung daripada Menteri Luar Negeri yang baharu, Badr Abdelatty. Memetik sumber rapat dengan Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Ahmed Al-Tayyeb, sumber itu mendakwa bahawa Badr Abdelatty meminta Al-Azhar menarik balik kenyataan tersebut bagi mengelakkan gangguan terhadap rundingan sensitif berkaitan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Jika Al-Azhar tidak menarik balik kenyataan itu, rundingan akan gagal,” kata sumber berkenaan.
Susulan tekanan tersebut, Sheikh Al-Tayyeb akhirnya memilih untuk memadam kenyataan tersebut. Satu kenyataan penjelasan yang dimuat naik selepas itu menyatakan bahawa keputusan tersebut dibuat atas dasar tanggungjawab moral. Meskipun isi kenyataan asal dianggap benar, Al-Azhar menjelaskan bahawa penyiarannya boleh dieksploitasi oleh rejim Israel sebagai alasan untuk menyekat atau melambatkan kemasukan bantuan kemanusiaan.
“Al-Azhar menarik balik kenyataannya dengan penuh keberanian dan tanggungjawab di hadapan Tuhan setelah menyedari bahawa kenyataan tersebut boleh memberi kesan negatif kepada rundingan gencatan kemanusiaan yang sedang berlangsung — yang bertujuan menyelamatkan nyawa orang awam dan tidak memberi peluang kepada mana-mana pihak untuk menggunakannya sebagai alasan untuk mundur atau berdolak-dalik,” kata kenyataan penjelasan itu.
Tindakan tersebut bagaimanapun menerima kecaman daripada penyokong hak Palestin yang menganggap ia sebagai bentuk tunduk kepada tekanan politik.
Sejak Oktober lalu, lebih 59,000 rakyat Palestin — termasuk sekurang-kurangnya 20,000 kanak-kanak — telah terbunuh dalam serangan ketenteraan rejim Israel ke atas Gaza. Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini menyatakan bahawa terdapat asas munasabah untuk mempercayai rejim Israel sedang melakukan jenayah genosid. Badan hak asasi manusia turut mendokumentasikan penggunaan kebuluran, pemusnahan infrastruktur awam, dan sekatan bantuan kemanusiaan sebagai senjata perang oleh rejim tersebut.
Sumber: Middle East Monitor