Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Ketua Biro Politik HAMAS, Khalil al-Hayya menggesa negara-negara pengantara supaya segera campur tangan dan mengenakan tekanan ke atas rejim Israel bagi mematuhi sepenuhnya syarat-syarat perjanjian gencatan senjata dan menghentikan segala bentuk pelanggaran yang dilakukan. 


Dalam satu kenyataan, al-Hayya berkata rejim Israel sengaja mencabuli perjanjian gencatan senjata dengan meneruskan serangan ketenteraan, menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan, bekalan perubatan dan keperluan logistik, sekali gus memburukkan lagi penderitaan lebih dua juta rakyat Palestin di Gaza. 


Dalam perkembangan sama, Pengarah Pertahanan Awam Gaza, Raed al-Dahshan memberi amaran bahawa sistem tindak balas kecemasan di wilayah itu kini berada di ambang keruntuhan. Menurut beliau, kapasiti operasi pertahanan awam di Gaza kini hanya berbaki 25 peratus berikutan penutupan sebuah pusat operasi, kerosakan kenderaan kecemasan serta kekurangan peralatan dan alat ganti.


Beliau berkata pusat pertahanan awam di al-Rimal tidak lagi beroperasi sejak hampir sebulan selepas semua jentera bomba, ambulans dan kenderaan penyelamat mengalami kerosakan, menyebabkan sebahagian besar bandar Gaza kehilangan liputan perkhidmatan kecemasan. 


Menurut al-Dahshan, pasukan penyelamat kini mengalami kesukaran memberikan respons terhadap beberapa insiden serentak, manakala kelewatan operasi menyelamat mengurangkan peluang mangsa untuk terus hidup. Malah, anggota penyelamat ada kalanya terpaksa menggali runtuhan dengan tangan kosong akibat kekurangan peralatan. Beliau turut memaklumkan bahawa lebih 140 anggota pertahanan awam telah syahid sejak bermulanya serangan rejim Israel ke atas Gaza.


Sehubungan dengan itu, beliau menggesa masyarakat antarabangsa serta negara-negara penjamin gencatan senjata supaya segera menyediakan ambulans, kenderaan penyelamat, peralatan operasi dan kelengkapan perlindungan bagi memastikan misi menyelamat dapat diteruskan.


Sementara itu, Pengerusi Kesatuan Majlis Perbandaran Gaza, Yahya al-Sarraj berkata Gaza memerlukan kira-kira 100 tan racun perosak dan bahan kawalan serangga bagi menangani penularan tikus serta serangga akibat timbunan sampah dan runtuhan bangunan.


Al-Sarraj menggesa penderma antarabangsa dan organisasi kemanusiaan supaya segera menyalurkan bekalan serta membantu usaha membersihkan sisa runtuhan dan timbunan sampah, sambil menegaskan bahawa krisis kemanusiaan dan alam sekitar di Gaza akan terus memburuk selagi rejim Israel menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan, jentera berat dan peralatan logistik yang dijanjikan di bawah perjanjian gencatan senjata.


Sumber: The Palestine Chronicle

Written by
Admin
Published on
July 24, 2026