
Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai wilayah Palestin yang diduduki, Francesca Albanese, menegaskan bahawa rakyat Palestin yang sedang menghadapi perang pembunuhan beramai-ramai oleh entiti rejim Israel tidak memerlukan sekadar kenyataan kecaman.
Beliau menekankan bahawa tindakan nyata diperlukan, sambil menyeru semua negara di dunia untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Tel Aviv.
Beliau berkata demikian dalam satu ucapan pada hari Selasa semasa sesi United Nations Human Rights Council (UNHRC), yang membincangkan kesan pembunuhan beramai-ramai yang terus dilakukan oleh rejim pendudukan di semenanjung Gaza.
Albanese menegaskan perlunya menghentikan penggunaan holokus sebagai alasan untuk membenarkan jenayah.
Beliau berkata: “Saya tidak peduli agama apa yang dipertahankan oleh Israel ketika mereka membunuh kanak-kanak, membiarkan mereka kelaparan dan membakar mereka hidup-hidup bersama keluarga mereka. Isunya bukan soal agama, hentikan jadikan isu ini sebagai isu identiti.”
Beliau turut menegaskan keperluan untuk membawa entiti Israel ke muka pengadilan di The Hague, sambil berkata: “Selagi tidak ada campur tangan besar-besaran untuk menghentikan Israel, saya tidak melihat harapan untuk menyelamatkan rakyat Palestin di Gaza.”
Albanese juga mengkritik negara-negara yang masih mengekalkan hubungan dengan Tel Aviv, sambil mengingatkan mereka tentang kewajipan undang-undang untuk tidak membekalkan senjata kepada pihak yang melakukan jenayah perang.
Beliau menyeru negara-negara supaya memutuskan hubungan dengan entiti tersebut bagi menyelamatkan rakyat Palestin di Gaza, serta menegaskan bahawa kemerosotan keadaan di Gaza khususnya kebuluran dan kemusnahan yang berterusan bukanlah kebetulan, tetapi disengajakan.
Beliau berkata: “Walau apa jua cara sekalipun, mereka mesti dipertanggungjawabkan (Israel). Para pemimpinnya wajar dihadapkan ke Mahkamah The Hague.”
Albanese turut menyatakan bahawa dalam tempoh hanya 900 hari, entiti Israel telah membunuh jumlah yang melebihi sepuluh kali ganda korban tragedi Srebrenica Massacre, dengan menggunakan senjata yang dibekalkan oleh beberapa buah negara luar.
Beliau juga mengkritik kegagalan masyarakat antarabangsa dengan berkata: “Kalian hanya mengecam dan menyatakan kebimbangan dan sebahagian daripada kalian menunggu orang lain untuk bertindak, sedangkan orang lain itu adalah diri kalian sendiri. Kalian mewakili negara-negara yang ada tanggungjawab undang-undang. Tidak lagi wajar untuk bercakap seolah-olah tanggungjawab terletak pada pihak lain.”
Beliau akhiri ucapannya dengan bertanya kepada wakil-wakil negara: “Tanyalah diri kalian sendiri sebagai manusia, tidak penatkah hanya mengecam sedangkan negara kalian terus menjalinkan urusniaga dengan Israel dan membekalkannya dengan teknologi serta senjata yang diuji ke atas rakyat Palestin?”
Sumber: Shehab Agency