Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Jumlah rakyat Palestin yang terbunuh akibat serangan rejim Israel di Gaza telah melepasi angka 1,000 korban sejak gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) berjalan pada Oktober tahun lalu, menurut Kementerian Kesihatan Gaza pada Khamis. Perkembangan itu berlaku ketika sekurang-kurangnya empat lagi penduduk dilaporkan terbunuh dalam siri serangan terbaharu.


Petugas perubatan berkata, satu serangan yang dilancarkan rejim Israel menyasarkan sebuah kenderaan di Jalan Omar al-Mokhtar, bandar Gaza, mengorbankan tiga individu ketika usaha baharu pengantara antarabangsa untuk mencapai gencatan senjata sedang dijalankan. Tentera rejim Israel mendakwa bahawa serangan tersebut menyasarkan anggota HAMAS.


Dalam satu lagi insiden pada hari yang sama, seorang individu dilaporkan terbunuh akibat tindakan tentera rejim Israel yang beroperasi di kawasan tengah Gaza. Tentera rejim tersebut bagaimanapun tidak mengulas mengenai kejadian tersebut.


Rejim Israel menegaskan bahawa serangan yang dilancarkan bertujuan menggagalkan ancaman serangan yang didakwa akan dilakukan oleh HAMAS dan kumpulan pejuang lain, manakala HAMAS jarang mendedahkan maklumat berkaitan kematian pejuangnya.


Pada masa sama, rejim Israel dan HAMAS masih gagal mencapai kata sepakat mengenai fasa seterusnya pelan damai Gaza yang dicadangkan Trump, yang antaranya melibatkan pelucutan senjata HAMAS dan pengunduran tentera rejim Israel dari wilayah itu.


Utusan Lembaga Keamanan Gaza (BOP) yang dilantik Trump, Nikolay Mladenov, dilaporkan mengadakan rundingan di Kaherah minggu ini bersama pengantara dari Mesir, Qatar dan Turkiye selepas HAMAS serta beberapa kumpulan Palestin menyerahkan maklum balas terhadap pelan yang dikemukakan sebelum ini.


Menurut dua sumber yang terlibat dalam rundingan itu, Mladenov turut menyerahkan versi semakan semula pelan tersebut yang mengambil kira sebahagian kebimbangan pihak Palestin, namun masih mengekalkan perkara asas yang dianggap sebagai garis merah dalam pelan Trump. Seorang pegawai HAMAS mengesahkan kepada Reuters bahawa dokumen tersebut sedang diteliti.


Sementara itu, tentera rejim Israel dilaporkan masih menguasai lebih 60 peratus wilayah Gaza, selain mengarahkan penduduk berpindah dan memusnahkan sebahagian besar bangunan yang masih berbaki. 


Hampir keseluruhan daripada lebih dua juta penduduk Gaza, yang kebanyakannya telah dipindahkan beberapa kali, kini tinggal di kawasan sempit di sepanjang pesisir pantai, sama ada di khemah sementara atau bangunan yang rosak, di bawah pentadbiran de facto HAMAS.


Sumber: Reuters

Written by
Admin
Published on
June 19, 2026