.png)
Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, sekurang-kurangnya 123 orang terbunuh dalam serangan rejim haram Israel ke atas Lubnan sejak Isnin. Kementerian itu turut memaklumkan bahawa 683 orang lagi cedera dalam serangan tersebut.
Tentera penjajah telah melancarkan beberapa siri serangan udara sejak Isnin yang menyasarkan pelbagai lokasi di seluruh negara, termasuk di ibu negara Beirut selepas kumpulan Hizbullah kembali melancarkan serangan ke atas negara haram Israel.
Peningkatan ketegangan ini berlaku susulan serangan bersama Israel-AS ke atas Iran yang telah mengorbankan lebih 900 orang sejak Sabtu, termasuk Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei serta beberapa pegawai kanan tentera.
Iran kemudian membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan negara haram itu serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera Amerika Syarikat (AS).
Pihak penjajah juga dilaporkan berulang kali melanggar perjanjian gencatan senjata dengan Lubnan yang ditandatangani pada November 2024 dengan melancarkan serangan hampir setiap hari sehingga menyebabkan ratusan orang terbunuh dan cedera.
Pihak penjajah turut memulakan serangannya terhadap Lubnan pada Oktober 2023 dan meningkatkan operasi itu menjadi perang berskala penuh pada September 2024 yang telah mengorbankan lebih 4,000 orang dan mencederakan sekitar 17,000 yang lain.
Sumber: Anadolu Ajansi