Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Associated Press (AP) dan Reuters pada Selasa menuntut akauntabiliti daripada tentera Israel berhubung serangan udara ke atas sebuah hospital di selatan Gaza yang mengorbankan 20 orang, termasuk lima wartawan, tiga daripadanya bekerja dengan kedua-dua agensi berita tersebut.


Dalam sepucuk surat kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan beberapa pegawai kanan lain, Eksekutif Editor AP, Julie Pace dan Ketua Editor Reuters, Alessandra Galloni berkata mereka amat marah kerana wartawan bebas merupakan antara yang terbunuh dalam serangan tersebut.


“Wartawan bebas, Mariam Abu Dagga dan Moaz Abu Taha masing-masing telah bekerja dengan AP dan Reuters dan beberapa media lain sepanjang peperangan. Jurukamera Hussam al-Masri yang juga kontraktor Reuters turut terbunuh, manakala jurugambar Hatem Khaled yang juga merupakan kontraktor Reuters tercedera,” tulis mereka.


Kedua-dua editor menekankan bahawa para wartawan tersebut berada di lokasi dalam kapasiti profesional, mendokumentasikan peperangan ketika Israel telah menghalang kemasukan wartawan asing ke Gaza selama hampir dua tahun.


Tentera Israel mengakui serangan itu tetapi mendakwa ia tidak menyasarkan wartawan, serta memaklumkan kononnya siasatan dalaman telah dibuka. Namun, kedua-dua editor berkenaan menyatakan keraguan, dengan menegaskan bahawa siasatan Israel sebelum ini jarang sekali membawa kepada kejelasan atau akauntabiliti. Mereka turut mempersoalkan sama ada Israel sengaja menyasarkan siaran langsung bagi menghalang penyebaran maklumat.


Tuntutan ini hadir di tengah-tengah kemarahan global berikutan pembunuhan beramai-ramai di hospital tersebut. Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan mangsa yang terbunuh termasuk pesakit, petugas kesihatan, pasukan pertahanan awam dan kru media. Antara yang terbunuh ialah jurukamera Palestine TV Hussam al-Masri, jurugambar Al Jazeera Mohammad Salama, jurufoto Mariam Abu Dagga, wartawan Moaz Abu Taha serta wartawan bebas Ahmed Abu Aziz.


Seorang lagi wartawan, Hassan Douhan, koresponden bagi akhbar harian Al-Hayat Al-Jadida, turut terbunuh akibat tembakan tentera Israel di Khan Yunis pada Isnin, menjadikan jumlah wartawan yang terbunuh sejak Oktober 2023 kini mencecah 246 orang.


Pace dan Galloni menuntut agar Israel menjamin akses selamat dan tanpa halangan bagi wartawan bebas yang keluar masuk Gaza, sambil menegaskan bahawa siasatan penuh dan telus terhadap serangan ke atas Hospital Nasser amat diperlukan.


Sumber: Middle East Monitor

Written by
Admin
Published on
August 27, 2025