ARAHAN PINDAH TERBESAR SEJAK OKTOBER 2023
Dalam perkembangan situasi di sempadan Gaza, arahan pindah yang dikeluarkan rejim Israel baru-baru ini menyaksikan pemindahan terbesar dalam sejarah Taufan al-Aqsa.
Arahan pindah itu berkuatkuasa segera di dua kawasan di selatan Gaza iaitu Rafah dan Khan Younis, menjadikan sepertiga penduduk Palestin wilayah itu terkesan.
Menurut data daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seramai 1.9 juta penduduk kehilangan tempat tinggal selepas dihalau rejim Israel pada awal minggu ini.
Sebelum ini, PBB meramalkan hanya sekitar 250,000 penduduk sahaja yang akan terkesan. Bagaimanapun, angka yang jauh lebih tinggi itu nyata mencatatkan sejarah hitam Palestin pada era kini.
Situasi terkini meletakkan penduduk Palestin dalam keadaan serba tidak kena, sama ada untuk berpindah lagi ke tempat yang mustahil lengkap dengan ruang dan perkhidmatan; atau kekal di tempat semasa yang bakal menyaksikan pembantaian besar rejim Israel di kedua-dua kawasan tersebut.
Semalam, media melaporkan Hospital Eropah sudah dikosongkan dengan hanya tiga orang pesakit sahaja yang masih berada di dalam bangunan itu. Pada masa yang sama, seramai 270 orang pesakit yang lain, termasuk doktor dan staf hospital telah berpindah ke Kompleks Perubatan Nasser ekoran kebimbangan terhadap serangan rejim Israel walaupun tiada arahan pengosongan tempat ke atas Hospital Eropah. Insiden itu menyaksikan salah seorang pesakit terpaksa ditolak bersama katilnya sejauh 11km ke Pusat Perubatan Nasser.
Sumber: Al Jazeera, Anadolu Ajansi, Quds News Network