Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan pada Selasa bahawa AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza yang musnah akibat perang selepas rakyat Palestin dipindahkan ke tempat lain dan membangunkan ekonomi di kawasan itu. Ia merupakan satu langkah yang akan mengubah dasar AS terhadap konflik Israel-Palestin sejak beberapa dekad.
"AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza, dan kami juga akan menguruskannya,"
kata Trump kepada wartawan sejurus selepas mencadangkan penempatan semula tetap rakyat Palestin di luar Gaza. Tambahnya lagi,
"Kami akan memilikinya dan bertanggungjawab untuk membersihkan semua bom yang tidak meletup serta senjata berbahaya lain di kawasan itu."
Trump mendedahkan rancangan mengejut ini tanpa memberikan butiran lanjut.Sebelum itu, semasa pertemuan dengan Netanyahu di Pejabat Oval (The Oval Office), Trump menyatakan keyakinannya bahawa Jordan dan Mesir akan menerima rakyat Palestin dari Gaza, dengan mendakwa bahawa wilayah tersebut kini hanyalah kawasan runtuhan dan tidak lagi sesuai didiami.
"Saya tidak fikir rakyat Palestin harus kembali ke Gaza. Saya rasa Gaza telah membawa banyak penderitaan kepada mereka. Mereka hidup dalam keadaan sengsara, seolah-olah dalam neraka. Gaza bukan tempat yang sesuai untuk didiami, dan satu-satunya sebab mereka ingin kembali, dan saya sangat yakin dengan perkara ini adalah kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain. Jika mereka mempunyai alternatif yang lebih baik, mereka pasti lebih suka untuk tidak kembali ke Gaza dan tinggal di tempat lain yang lebih indah serta selamat,"
tambahnya.
Sumber: Reuters, Anadolu Ajansi