.png)
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Khamis menegaskan bahawa Washington menentang sebarang pengenaan tol terhadap kapal yang melalui Selat Hormuz, sambil berikrar bahawa Iran tidak akan dibenarkan memiliki simpanan uranium diperkaya tahap tinggi, lapor Anadolu Ajansi.
“Kami tidak mahu tol. Ia adalah laluan perairan antarabangsa. Mereka tidak mengenakan tol buat masa ini,” kata Trump kepada pemberita di Rumah Putih.
Trump mendakwa Iran mengalami kerugian kewangan besar akibat sekatan terhadap aktiviti perkapalan.
Apabila ditanya sama ada Iran boleh menyimpan stok uranium yang diperkaya pada tahap tinggi di bawah sebarang aturan masa depan, Trump menjawab dengan tegas.
“Tidak, kami akan mendapatkan uranium yang diperkaya itu. Kami akan mendapatkannya,” kata Trump. “Kami tidak memerlukannya. Kami tidak mahukannya. Kami mungkin akan memusnahkannya selepas mendapatkannya, tetapi kami tidak akan membiarkan mereka memilikinya.”
Trump mengulangi bahawa AS tidak akan membenarkan Iran memiliki senjata nuklear.
“Buat masa ini, kami sedang berunding dan kita akan lihat. Tetapi kami akan mendapatkannya dengan satu cara atau cara lain. Mereka tidak akan memiliki senjata nuklear,” katanya.
Trump berkata AS sedang memantau laporan mengenai rundingan antara Iran dan Oman berhubung kemungkinan pengenaan tol di Selat Hormuz, sambil menegaskan bahawa tentera AS mempunyai kawalan penuh terhadap lalu lintas maritim di laluan strategik itu.
Apabila ditanya sama ada AS boleh menerima rundingan Iran dengan Oman bagi memformalkan caj tol terhadap kapal yang melalui Selat Hormuz, Trump berkata: “Kami sedang menelitinya dan kami telah dimaklumkan mengenainya.”
Trump kemudian mendakwa bahawa AS telah melaksanakan sekatan yang berkesan di rantau itu.
“Kami mempunyai kawalan penuh ke atas Selat Hormuz seperti yang anda tahu melalui sekatan kami,” kata Trump. “Sekatan itu 100% berkesan. Tiada siapa yang dapat melaluinya. Ia seperti tembok besi.”
Ketegangan serantau meningkat sejak AS dan rejim haram Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari. Tehran membalas dengan serangan yang menyasarkan negara haram Israel serta sekutu AS di negara Teluk, selain menutup Selat Hormuz.
Sumber: Anadolu Ajansi, Middle East Monitor