
Menurut seorang pegawai daripada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendedahkan dalam satu taklimat kepada Kongres pada minggu ini bahawa dalam tempoh enam hari pertama perang dilancarkan ke atas Iran telah menelan kos sekurang-kurangnya AS$11.3 bilion. Anggaran ini pertama kali dilaporkan oleh akhbar The New York Times pada Rabu lalu.
Angka itu diperoleh daripada sesi taklimat tertutup kepada barisan Senator pada hari Selasa. Namun begitu, jumlah tersebut tidak merangkumi keseluruhan kos perang, sebaliknya diberikan kepada para penggubal undang-undang yang semakin mendesak untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai konflik berkenaan.
Beberapa pembantu Kongres menyatakan bahawa mereka menjangkakan Rumah Putih akan segera mengemukakan permohonan kepada Kongres bagi mendapatkan peruntukan tambahan untuk membiayai kos perang tersebut. Sesetengah pegawai berkata, permohonan itu mungkin mencecah AS$50 bilion, manakala yang lain berpandangan anggaran tersebut masih terlalu rendah.
Setakat ini, pihak pentadbiran belum memberikan penilaian rasmi secara terbuka mengenai kos konflik atau tempoh jangkaan perang. Ketika lawatan ke Kentucky pada Rabu lepas, Trump menyatakan bahawa kami telah menang dalam perang itu, namun AS akan terus terlibat dalam pertempuran sehingga misi tersebut diselesaikan.
Serangan ketenteraan ke atas Iran bermula pada 28 Februari lalu dengan serangan udara yang dilancarkan oleh AS dan Israel. Sehingga kini, konflik tersebut telah mengorbankan kira-kira 2,000 orang, kebanyakannya rakyat Iran dan Lubnan, tatkala konflik telah merebak ke Lubnan serta mencetuskan kekacauan dalam pasaran tenaga dan sistem pengangkutan global.
Pegawai pentadbiran tersebut juga memaklumkan kepada ahli Kongres bahawa sebanyak AS$5.6 bilion peluru dan kelengkapan ketenteraan telah digunakan dalam tempoh dua hari pertama serangan.
Ahli-ahli Kongres, yang mungkin perlu meluluskan peruntukan tambahan bagi perang itu tidak lama lagi turut menyuarakan kebimbangan bahawa konflik tersebut akan mengurangkan stok simpanan ketenteraan AS ketika mana industri pertahanan negara itu sudah pun bergelut untuk memenuhi permintaan.
Sementara itu, ahli-ahli perundangan daripada Parti Demokrat menuntut agar pegawai pentadbiran memberikan keterangan awam di bawah sumpah mengenai rancangan presiden dari Parti Republikan terhadap perang berkenaan, termasuk tempoh jangkaan konflik serta rancangan AS terhadap Iran selepas pertempuran berakhir.
Sumber: Reuters