Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, Setiausaha AS, Marco Rubio, menyifatkan cadangan Presiden AS, Donald Trump sebagai tawaran unik untuk membersihkan runtuhan dan kemusnahan di Gaza.
"Apa yang beliau tawarkan dengan penuh kemurahan hati adalah peluang untuk Amerika Syarikat masuk dan membantu dalam pembersihan runtuhan, pemusnahan sisa senjata, serta kerja-kerja pembinaan semula, termasuk membangunkan rumah dan perniagaan supaya rakyat boleh kembali tinggal di sana,"
kata Rubio dalam satu sidang akhbar di Guatemala City.
"Dalam tempoh peralihan, sudah tentu rakyat perlu tinggal di suatu tempat sementara proses pembinaan semula dijalankan,"
tambahnya.
Sementara itu, jurucakap Rumah Putih (White House), Karoline Leavitt, turut menarik balik kenyataan awal Trump yang mengatakan AS akan "memiliki" Gaza, dengan menegaskan bahawa presiden hanya mahu rakyat Palestin dipindahkan secara sementara.
Menurut Senator AS, Josh Hawley, utusan Timur Tengah Steve Witkoff turut memberitahu Senator Republikan dalam satu mesyuarat tertutup bahawa Trump tidak mahu menghantar tentera AS ke Gaza dan juga tidak mahu membelanjakan dana AS untuk wilayah itu.
Sumber: Al Jazeera