.png)
Amerika Syarikat (AS) telah menghantar Pelan 15 Perkara kepada Iran yang bertujuan menyelesaikan konflik di Asia Barat, menurut satu laporan pada hari Selasa.
Menurut akhbar The New York Times, cadangan itu disampaikan melalui Pakistan dan merangkumi langkah berkaitan program nuklear serta peluru berpandu balistik Iran, selain aspek keselamatan maritim di Selat Hormuz.
Laporan itu menyatakan masih belum jelas sama ada Iran akan menerima cadangan tersebut atau sama ada Israel akan menyokongnya, ketika perang yang kini memasuki minggu keempat terus berlanjutan dengan serangan AS-Israel serta serangan balas Iran.
Walau bagaimanapun, menurut satu analisis, Pelan 15 Perkara yang didakwa sedang dibincangkan oleh Presiden AS, Donald Trump sebenarnya berasaskan cadangan yang dikemukakan oleh pasukan perundingannya hampir setahun lalu, menurut diplomat yang mengetahui rundingan tersebut.
Pelan asal itu menjadi asas rundingan pada akhir Mei 2025, tidak lama sebelum perbincangan tersebut ‘runtuh’ akibat serangan udara Israel ke atas program nuklear Iran.
Ketua Tentera Pakistan, Syed Asim Munir dilihat muncul sebagai perantara utama antara Washington dan Tehran, dengan Islamabad menyatakan kesediaannya untuk menjadi tuan rumah rundingan sekiranya kedua-dua pihak bersetuju, menurut pegawai yang dipetik dalam laporan itu.
Hakikat bahawa pelan itu mungkin sekadar pengulangan cadangan yang pernah ditolak Iran setahun lalu menunjukkan sama ada kurangnya kesungguhan AS dalam rundingan minggu ini, atau lebih berkemungkinan usaha Trump untuk menggambarkan seolah-olah kemajuan lebih besar telah dicapai berbanding realiti sebenar.
Pelan 15 Perkara pada Mei 2025, yang digambarkan oleh AS sebagai dokumen rangka perjanjian, merupakan cadangan sepihak yang mengandungi pelbagai syarat sukar diterima oleh Iran, termasuk sekatan terhadap penggunaan dana yang diperoleh hasil pelonggaran sekatan. Pelan itu hanya menjanjikan penghapusan sekatan berkaitan nuklear, bukan semua sekatan termasuk yang berkaitan hak asasi manusia.
Pada Isnin, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan jeda selama lima hari terhadap serangan ke atas loji janakuasa dan infrastruktur tenaga Iran, dengan menyatakan bahawa rundingan bersama Tehran dalam dua hari lalu adalah sangat baik dan produktif. Namun, Iran menafikan wujudnya rundingan langsung, kecuali perbincangan tidak langsung mengenai usaha menghidupkan semula rundingan.
AS dan Israel telah melancarkan serangan udara ke atas Iran sejak 28 Februari, yang setakat ini telah mengorbankan lebih 1,340 orang, termasuk Pemimpin Tertinggi Iran ketika itu, Ali Khamenei.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta beberapa buah negara jiran seperti Jordan, Iraq dan beberapa negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, mengakibatkan kematian, kerosakan infrastruktur, serta gangguan terhadap pasaran global dan sektor penerbangan.
Sumber: Anadolu Ajansi, The Guardian