.png)
Amerika Syarikat (AS) melancarkan siri serangan udara baharu ke atas beberapa kawasan di Iran lewat Rabu semalam, hanya beberapa jam selepas Presiden Donald Trump memberi amaran bahawa Tehran akan menerima tindakan lebih keras susulan ketegangan yang kembali memuncak di rantau itu.
Menurut Komando Pusat AS (CENTCOM), serangan itu menyasarkan beberapa kemudahan ketenteraan dan infrastruktur yang didakwa digunakan Iran untuk mengancam laluan perkapalan di Selat Hormuz. Washington mendakwa operasi tersebut dilancarkan sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkannya sebagai pencerobohan berterusan Iran terhadap kapal dagang di perairan antarabangsa.
Media Iran melaporkan letupan berlaku di beberapa kawasan termasuk Bushehr, Bandar Abbas dan Sirik, dengan kebakaran besar tercetus di beberapa lokasi serta gangguan bekalan elektrik dilaporkan berlaku di kawasan terjejas. Bagaimanapun, pihak berkuasa Iran memaklumkan kemudahan nuklear Bushehr tidak mengalami sebarang kerosakan.
Sebagai tindak balas, Iran dilaporkan sedang memperkukuh persiapan ketenteraannya dengan menggerakkan peluru berpandu dan dron, selain memberi amaran bahawa sebarang serangan lanjut akan menerima respons yang lebih tegas. Pegawai tentera Iran turut menegaskan bahawa republik itu akan terus mempertahankan kepentingannya serta keselamatan perairan di Selat Hormuz.
Perkembangan terbaharu itu mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan tercetus semula konflik berskala besar di Asia Barat, sekali gus mengancam keselamatan laluan perdagangan global dan bekalan tenaga dunia. Susulan serangan tersebut, harga minyak mentah dunia turut meningkat berikutan kebimbangan terhadap gangguan bekalan melalui Selat Hormuz, yang mengendalikan hampir satu perlima perdagangan minyak global.
Sumber: Anadolu, The Palestine Chronicle