Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Pada 15 Mac, jet tempur Amerika Syarikat (AS) melancarkan beberapa siri serangan udara di beberapa daerah di Yaman, membunuh sekurang-kurangnya 53 orang dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas Presiden AS, Donald Trump memberi amaran kepada kumpulan Houthi agar tidak menyerang kapal Israel yang melalui Laut Merah.

Serangan terkini itu merupakan tindakan ketenteraan paling ketara sejak Donald Trump kembali mentadbir sebagai Presiden AS Januari. Trump memberi amaran kepada Houthi susulan kumpulan itu mengancam mahu menyambung semula serangan ke atas kapal berkaitan Israel di Laut Merah. Ancaman Houthi itu merupakan satu respons tegas dari Yaman berikutan sekatan Israel ke atas Gaza.

Serangan tersebut yang bermula pada hari Sabtu dan berlanjutan sehingga awal pagi Ahad, menyasarkan ibu kota Sanaa serta kawasan di Saada, al-Bayda, Taiz, Al-Majzah, Ans, Hajjah dan Ibb, mengorbankan 53 orang dan mencederakan lebih 100 orang, menurut Kementerian Kesihatan Yaman. Kumpulan Houthi memberi amaran bahawa serangan AS itu tidak akan berlalu tanpa tindak balas, sambil mengecamnya sebagai “pencerobohan AS-British”.

Dalam satu hantaran di Truth Social, Trump berjanji untuk menggunakan kekuatan yang luar biasa dan mengarahkan Iran supaya menghentikan sokongannya terhadap Houthi.

Sejak November 2023, Houthi telah melancarkan lebih 100 serangan ke atas kapal dagang sebagai tindak balas terhadap perang Israel di Gaza. Serangan itu mengganggu perdagangan global dan memaksa tentera AS untuk memintas peluru berpandu serta dron yang dilancarkan. Tidak cukup dengan itu, Houthi juga berjaya menenggelamkan dua buah kapal laut, merampas sebuah kapal laut dan membunuh sekurang-kurangnya empat kelasi. Serangan mereka memaksa syarikat perkapalan mengubah laluan ke Selatan Afrika yang lebih jauh dan mahal.

Namun, serangan Houthi dihentikan apabila gencatan senjata di Gaza dikuatkuasakan pada Januari.

Pegawai AS memaklumkan bahawa serangan pada hari Sabtu sebahagiannya dilaksanakan oleh jet pejuang dari kapal induk Harry S Truman, yang ditempatkan di Laut Merah.US Central Command (CENTCOM) menyatakan bahawa serangan tepat telah dilancarkan bagi mempertahankan kepentingan Amerika, menghalang musuh dan memulihkan kebebasan navigasi.

Awal bulan ini, AS telah menyenaraikan gerakan Houthi sebagai sebuah organisasi “pengganas asing”.

Setakat ini, dikhabarkan AS telah melancarkan dua serangan udara ke atas Yaman. Houthi mendakwa telah menyerang kapal pengangkut pesawat AS, USS Harry S Truman di Laut Merah. Pemimpin kumpulan itu menyatakan bahawa serangan terhadap kapal-kapal AS akan diteruskan.

Sumber: Al Jazeera

Written by
Admin
Published on
March 17, 2025