Sebuah inisiatif bantuan makanan yang dikenali sebagai Gaza Humanitarian Foundation (GHF) yang mula beroperasi di Gaza pada akhir Mei dengan sokongan kerajaan Amerika Syarikat dan Israel telah menerima kritikan hebat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana didakwa tidak selamat, tidak adil dan bercanggah dengan prinsip kemanusiaan sejagat.
GHF ditubuhkan selepas Israel mengenakan sekatan penuh ke atas Gaza selama hampir tiga bulan dan menyaksikan 2.3 juta orang penduduk Gaza dalam krisis kebuluran kritikal.
Berbeza daripada sistem bantuan konvensional yang dikendalikan PBB dan agensi lain, GHF menggunakan pendekatan baharu dengan melibatkan syarikat keselamatan dan logistik swasta dari Amerika Syarikat (AS). Ia mengelak kerjasama dengan PBB dan sudah membuka tiga tapak agihan bantuan.
Walaupun GHF mendakwa telah mengagihkan lebih 130,000 kotak bantuan, operasi mereka terganggu akibat insiden tembakan maut yang berlaku berhampiran lokasi bantuan, menyebabkan kematian puluhan rakyat Palestin.
PBB mengecam pendekatan GHF kerana tidak mematuhi prinsip kesamarataan dan kebebasan operasi kemanusiaan. Menurut mereka, sistem ini menyukarkan akses bantuan kepada golongan yang paling memerlukan seperti kanak-kanak, warga emas dan mangsa cedera.
Jurucakap Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) mendedahkan ramai penduduk Gaza terpaksa berjalan sejauh 20 km demi bantuan tetapi pulang dengan tangan kosong dan dalam keadaan kebuluran yang lebih teruk.
Peta yang dikongsi Israel dan PBB menunjukkan lokasi GHF terletak dalam zon dikawal tentera Israel, membangkitkan persoalan tentang operasi ketenteraan dan sasaran ‘mangsa bantuan’. Kandungan bantuan turut dipersoal kerana apa yang diperlukan di Gaza pada ketika ini adalahair dan bahan api — dua sumber yang amat terhad.
Israel sebelum ini menuduh HAMAS mencuri bantuan dan menghentikan sepenuhnya penghantaran bantuan pada Mac lalu. Cadangan Israel untuk sistem pemantauan bantuan ditolak PBB, manakala GHF muncul sebagai alternatif kontroversi yang kini disokong AS.
PBB menggesa Israel untuk membuka lebih banyak laluan bantuan dan menghentikan sekatan agar nyawa rakyat Gaza dapat diselamatkan.
Sumber: Reuters