Krisis kebuluran di Gaza semakin kritikal meskipun Israel dan sekutunya mengumumkan permulaan jeda kemanusiaan pada Ahad lalu. Pihak berkuasa tempatan mengesahkan hanya 73 trak bantuan dibenarkan memasuki wilayah yang terkepung itu dalam tempoh 24 jam terakhir. Jumlah ini jauh lebih rendah daripada ratusan trak yang dijanjikan oleh pihak berkuasa antarabangsa.
Menurut Pejabat Media Gaza, sekurang-kurangnya 133 penduduk Gaza, termasuk 87 kanak-kanak, dilaporkan meninggal dunia akibat kebuluran yang semakin parah. Kira-kira 2.4 juta penduduk, termasuk 1.1 juta kanak-kanak, kini berdepan ancaman kebuluran meluas susulan sekatan berterusan yang menghalang kemasukan bekalan asas ke wilayah terbabit.
Pejabat itu turut memaklumkan bahawa sebahagian besar trak bantuan telah dirompak sebelum sempat tiba ke pusat pengagihan, meskipun pergerakan mereka berada di bawah pemantauan penuh dron Israel.
Jordan mengesahkan telah melaksanakan tiga penghantaran bantuan udara ke Gaza dengan kerjasama Emiriah Arab Bersatu (UAE). Namun, jumlah keseluruhan bantuan itu hanya menyamai muatan dua buah trak. Lebih membimbangkan, sebahagian bantuan jatuh di kawasan pertempuran yang dikawal tentera Israel, manakala selebihnya tercampak ke laut, menjejaskan keberkesanan misi dan membahayakan penduduk yang cuba mendapatkan bantuan.
“Bantuan ini langsung tidak berguna. Tiada satu pun sampai kepada penduduk yang kebuluran,” tegas pejabat itu.
Pihak berkuasa Gaza menegaskan bahawa situasi semasa bukanlah satu jeda kemanusiaan, sebaliknya satu bentuk penipuan kejam yang disokong oleh kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Jerman dan Perancis. Mereka mendakwa negara-negara tersebut bersubahat melalui janji palsu dan maklumat mengelirukan yang menutup jenayah sebenar rejim Israel terhadap rakyat Gaza.
Pihak berkuasa turut menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 600 trak bantuan diperlukan setiap hari untuk memenuhi keperluan penduduk Gaza. Namun, angka semasa masih di tahap kritikal dan krisis kebuluran terus melanda seluruh wilayah.
Kerajaan Gaza dalam kenyataan sama menuntut agar semua lintasan sempadan dibuka serta-merta dan tanpa syarat, bagi membolehkan kemasukan makanan, air bersih dan susu formula bayi.
Israel melaksanakan sekatan terhadap Gaza sejak 18 tahun lalu dan menutup sepenuhnya semua lintasan sejak 2 Mac, memburukkan lagi krisis kemanusiaan di wilayah itu.
Sumber: Anadolu Ajansi, Quds News Network