Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pada Selasa merayu kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, agar menggunakan pengaruhnya untuk mendesak rejim Israel menghentikan serta-merta kekejaman yang berterusan di semenanjung Gaza.
Menurut kenyataannya di platform X, “Mereka yang mempunyai pengaruh ke atas Israel mesti memiliki keberanian untuk bertindak tegas. Saya merayu kepada Presiden Donald Trump khususnya agar menggunakan pengaruh beliau untuk menamatkan pembunuhan ini, menghentikan pengeboman tanpa sasaran dan memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka yang memerlukan tanpa sebarang halangan.”
Beliau menyifatkan tragedi yang sedang berlaku di Gaza sebagai satu ujian terhadap nilai kemanusiaan sejagat.
“Seluruh keluarga dibunuh, termasuk kanak-kanak dan bayi yang tidak berdosa. Ada yang mati perlahan-lahan akibat kebuluran. Kezaliman dan pengabaian terhadap maruah dan nyawa manusia ini mesti dihentikan segera kerana ia mencabuli nilai moral paling asas,” tegas beliau.
Dato’ Seri Anwar turut menggesa semua pemimpin dunia agar bertindak segera.
“Setiap kerajaan yang berpegang kepada prinsip undang-undang antarabangsa dan setiap negara yang menjunjung nilai kemanusiaan mesti bersuara secara kolektif,” tegasnya.
Tambah beliau, mereka yang mempunyai pengaruh ke atas rejim Israel mesti memiliki keberanian untuk bertindak tegas.
“Inilah saatnya untuk kepimpinan bermoral ditunjukkan. Inilah waktunya untuk menjunjung nilai yang selama ini kita dakwa ingin pertahankan. Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak, tanpa mengira rantau, bagi meringankan penderitaan di Gaza serta mengembalikan nilai asas kemanusiaan,” katanya.
“Jangan biarkan kita dikenang sebagai generasi yang hanya berdiam diri. Biarlah suara hati kita membimbing tindakan, membalas penderitaan dengan belas kasihan dan mengejar keamanan demi menjunjung nilai kemanusiaan,” ujar beliau lagi.
Sumber: Anadolu Ajansi, Middle East Monitor, Free Malaysia Today