Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Rejim Israel telah memutuskan bekalan elektrik dan air ke pejabat Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menamatkan operasi agensi tersebut di wilayah yang didudukinya.


Menteri Tenaga Israel, Eli Cohen mengumumkan tindakan pada Selasa menerusi laman X, sambil menyatakan bahawa ia merupakan pelaksanaan undang-undang baharu yang bertujuan menyingkirkan kehadiran UNRWA sepenuhnya.


Tindakan ini adalah lanjutan daripada langkah yang diambil Knesset pada 28 Oktober 2024 apabila dua undang-undang telah diluluskan untuk membatalkan keistimewaan dan kekebalan UNRWA serta melarang sebarang hubungan rasmi dengan agensi tersebut. Larangan itu mula dikuatkuasakan pada Januari lalu, memaksa UNRWA mengosongkan pejabat utamanya di kawasan Sheikh Jarrah, Baitul Maqdis Timur yang diduduki, serta menutup enam buah sekolahnya di bandar itu.


Cohen menuduh UNRWA sebagai sayap operasi HAMAS dan mendakwa agensi itu menjadi tapak penyebaran hasutan dan aktiviti pembunuhan. Tuduhan itu bagaimanapun dinafikan keras oleh UNRWA dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menegaskan komitmen agensi berkenaan terhadap prinsip berkecuali serta peranan penting dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Sumber: Anadolu Ajansi, Al Jazeera

Written by
Admin
Published on
July 16, 2025