Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Walaupun bekalan barangan keperluan kembali memasuki pasaran Gaza selepas berbulan-bulan mengalami kekurangan akibat sekatan dan serangan berterusan rejim Israel, namun kebanyakan rakyat Palestin masih tidak mampu membelinya kerana kehilangan sumber pendapatan dan kenaikan harga yang mendadak.

Seorang ibu kepada tujuh orang anak, Ghadeer Nassar berkata keluarganya kini tinggal di sebuah sekolah yang dijadikan pusat perlindungan di bandar Gaza selepas kehilangan tempat tinggal akibat perang.

Menurut Ghadeer, suaminya tidak mempunyai pekerjaan tetap sejak sebelum perang lagi dan hanya bergantung kepada kerja sambilan yang memberikan pendapatan yang sangat kecil. Beliau berkata keluarganya pernah menjual cincin perkahwinan serta telefon bimbit milik suaminya bagi mendapatkan wang untuk membeli makanan.

Ghadeer turut memaklumkan bahawa beliau pernah menukar satu kilogram beras dengan empat kilogram kacang lentil supaya bekalan makanan dapat bertahan lebih lama. Menurutnya, beliau tidak lagi membeli makanan yang diinginkan, sebaliknya hanya membeli apa yang mampu diperoleh mengikut kemampuan kewangan keluarga.

Sementara itu, pemilik sebuah kedai runcit di bandar Gaza, Maher al-Khudari berkata rak-rak kedainya kini dipenuhi pelbagai barangan, namun kebanyakan pelanggan tidak lagi mampu membeli seperti sebelum perang.Menurut beliau, pelanggan yang sebelum ini membeli satu kilogram sayur kini hanya membeli beberapa biji sahaja, manakala makanan ringan dan manisan kini dianggap sebagai barangan mewah. Ramai pelanggan turut meminta untuk membeli secara hutang, namun beliau sukar memenuhi permintaan tersebut kerana bimbang tidak dapat meneruskan perniagaannya.

Beliau menjelaskan bahawa kebanyakan penduduk kini tidak mempunyai wang yang mencukupi walaupun untuk membeli makanan asas seperti roti.Menurut Program Makanan Sedunia (WFP), walaupun jumlah bekalan komersial dan bantuan kemanusiaan yang memasuki Gaza meningkat sejak dua bulan lalu, namun semakin ramai penduduk melaporkan mereka tidak mampu membeli barangan yang dijual di pasaran kerana harganya terlalu tinggi.

Pakar ekonomi Palestin, Mohammed Abu Jiab berkata kewujudan barangan di pasaran tidak bermaksud ekonomi Gaza sedang pulih kerana kuasa beli rakyat merosot dengan ketara selepas ribuan keluarga kehilangan pekerjaan dan simpanan akibat perang. Menurut beliau, pemulihan ekonomi hanya boleh dicapai sekiranya penduduk kembali mempunyai peluang pekerjaan dan sumber pendapatan yang stabil

Data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan indeks harga makanan di Gaza kini meningkat sebanyak 102 peratus berbanding sebelum perang.

Ghadeer turut berkata anak perempuannya yang berusia tiga tahun baru-baru ini meminta sebiji oren selepas keluar dari hospital akibat patah kaki, namun suaminya tidak mampu membeli buah tersebut sehingga seorang peniaga yang mendengarnya bersimpati terhadap mereka lalu menghadiahkan sebiji oren kepada anak mereka.

Beliau turut berkata ada masanya mereka tidak mempunyai makanan langsung sehingga terpaksa merebus air bersama serbuk perasa sayur untuk diminum oleh anak-anak. Ghadeer mengakui beliau bimbang keadaan yang sedang dihadapi keluarganya hari ini mungkin bukan yang paling sukar, sebaliknya penderitaan yang lebih buruk menanti.

Sumber: Al Jazeera

Written by
Admin
Published on
August 5, 2026