Bekas Ketua Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dari Poland, pada Khamis, mengecam keputusan Warsaw (ibu negara Poland) untuk melindungi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu daripada waran tangkap ICC jika dia menghadiri upacara memperingati pembebasan Auschwitz (upacara memperingati ulang tahun ke-80 pembebasan Auschwitz, iaitu sebuah kem tahanan Nazi yang terkenal semasa Perang Dunia Kedua), lapor Agensi Anadolu.
Bercakap kepada media Poland, Onet, Piotr Hofmanski berkata:
“Saya tidak tahu banyak tentang politik, tetapi dari sudut pandang undang-undang, perkara ini sangat jelas. Terdapat waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel atas dakwaan jenayah perang, dan negara-negara wajib melaksanakannya.”
Beliau menambah,
“Keputusan kerajaan Poland adalah keputusan yang bersifat politik semata-mata, dan kerajaan dengan jelas mengabaikan kewajipan undang-undangnya.”
Hofmanski menegaskan bahawa terdapat kewajipan undang-undang dan antarabangsa untuk bekerjasama sepenuhnya dengan ICC. Oleh itu, mana-mana negara yang gagal melaksanakan kewajipan ini akan berhadapan situasi yang rumit serta kedudukan antarabangsa yang terjejas teruk.
“Tujuan kewujudan ICC itu sendiri akan dipersoalkan jika negara-negara enggan mematuhi kewajipan mereka,” katanya.
Presiden Andrzej Duda pada Khamis, meminta kerajaan memastikan bahawa Netanyahu dapat menghadiri ulang tahun ke-80 pembebasan kem Auschwitz tanpa takut ditangkap atas dakwaan jenayah perang di Gaza.
Sumber: Middle East Monitor