.png)
“Tahanan Palestin mati kelaparan” — demikian antara keterangan seorang tahanan yang dimuatkan dalam laporan dokumentasi Pertubuhan Tahanan Palestin mengenai keadaan tahanan sepanjang separuh pertama 2026.
Menurutnya, keadaan di dalam penjara disifatkan sebagai tahap penindasan dan layanan paling buruk dan belum pernah berlaku sebelum ini, dengan pasukan rejim Israel melakukan serbuan berulang ke dalam bilik tahanan. Serbuan itu melibatkan anggota unit khas dalam jumlah yang besar bersama anjing polis, selain penggunaan peluru getah yang menyebabkan beberapa tahanan cedera.
Beliau menjelaskan bahawa dirinya turut menjadi mangsa terkena peluru getah pada kaki lebih sebulan lalu ketika salah satu operasi penindasan dilakukan. Kesan kecederaan itu masih kelihatan walaupun keadaan kesihatannya kini stabil.
Dalam keterangannya, pihak pentadbiran penjara turut merampas tilam dari semua blok sepanjang Ramadan, menyebabkan tahanan terpaksa tidur terus di atas katil besi tanpa sebarang alas. Tindakan itu menyebabkan sakit belakang yang teruk serta masalah kesihatan lain, selain menjadi sebahagian daripada hukuman kolektif terhadap tahanan.
Tahanan itu turut melaporkan sebelum ditahan, dirinya tidak mengalami masalah kesihatan, namun keadaan penahanan menyebabkan beliau mengalami masalah pada kaki serta ekzema pada kaki kiri. Selain itu, bisul berulang kali muncul pada kakinya dan mengeluarkan cecair, nanah serta darah.
Beliau berkata tiada pemantauan perubatan yang sewajarnya atau rawatan menyeluruh diberikan terhadap keadaannya. Pihak penjara hanya memberikan antibiotik selama tiga hari setiap minggu, menyebabkan simptom berkurangan buat sementara waktu sebelum kembali selepas rawatan berakhir.
Beliau menyatakan bahawa kekurangan pakaian turut memburukkan keadaan kesihatannya kerana pakaian yang dipakainya sering tercemar dengan cecair daripada luka pada kaki.
Menurutnya lagi, walaupun telah berulang kali meminta pakaian tambahan, pihak pentadbiran penjara tidak memenuhi permintaannya sehingga beliau terpaksa memakai seluar yang dipinjam daripada tahanan lain ketika menghadiri sesi lawatan.
Mengenai pemakanan, tahanan itu mendakwa tiada penambahbaikan dilakukan dari segi kuantiti mahupun kualiti makanan yang diberikan kepada tahanan. Tambahnya, tahanan Palestin turut berdepan kekurangan bahan pencuci serta pelbagai hukuman kolektif dan tindakan yang memburukkan lagi keadaan kehidupan mereka.
Beliau berkata keadaan tersebut menunjukkan dasar kelaparan, kekurangan keperluan asas dan kecuaian terhadap tahanan masih berterusan.
Tahanan itu mengakhiri keterangannya dengan berkata, “Tahanan Palestin maut kelaparan” sebagai gambaran terhadap penderitaan kemanusiaan yang dialami tahanan Palestin di penjara rejim Israel.
Sumber: PALM Strategic Initiatives Centre, Pertubuhan Tahanan Palestin