Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memecat Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant dan melantik Menteri Luar Israel, Israel Katz sebagai pengganti. Keputusan yang diambil telah mencetuskan protes di seluruh negara.
Dalam satu pengumuman rasmi pejabat Perdana Menteri Israel yang mengejut pada Selasa, Netanyahu berkata dia telah hilang kepercayaan terhadap Yoav Gallant dalam menguruskan peperangan di Gaza dan Lubnan.
“Sejak beberapa bulan lalu, kepercayaan itu semakin terhakis. Oleh sebab itu, hari ini saya mengambil keputusan untuk menamatkan tempoh perkhidmatan menteri pertahanan,” kata Netanyahu dalam kenyataan rasmi itu.
Pada masa yang sama, Netanyahu melantik Gideon Saar sebagai menteri luar yang baharu.
Di platform X, Katz berjanji untuk mencapai matlamat perang dan membawa pulang tebusan yang ditahan di Gaza sebagai misi terpenting.
Pada tahun lepas, Gallant lantang mengkritik kerajaan Netanyahu yang dilihat telah gagal mencapai perjanjian pembebasan tawanan di Gaza. Ekoran daripada itu, Netanyahu nekad untuk melucutkan jawatan Gallant tetapi terpaksa batalkan keputusan itu selepas menerima bantahan masyarakat awam di Israel.
Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS) tidak memberi sebarang komen terhadap pengumuman tersebut. Namun, mereka menganggap Gallant sebagai rakan kerjasama yang penting di dalam hal pertahanan Israel dan berjanji untuk teruskan kerjasama itu dengan menteri pertahanan yang baharu.
Sumber: Al Jazeera, The Washington Post, The New York Times