Klip video berdurasi 1 minit yang mula tular di media sosial memaparkan sekumpulan penduduk haram Israel menaiki sebuah bot untuk melihat sendiri situasi Gaza dibom oleh pesawat udara rejim Zionis. Klip video itu merupakan sebahagian daripada dokumentari yang dihasilkan oleh TRT World.
Dokumentari 53 minit yang bertajuk Holy Redemption Stealing Palestinian Land oleh TRT World itu telah memenangi AJB Documentary Film Festival Program Jury Award yang berprestij di Festival Filem Balkan Al Jazeera ke-7 yang diadakan dari 13 sehingga 17 September di Sarajevo, Bosnia dan Herzegovina.
Pengarah filem dokumentari itu berkata bahawa Daniella Weiss, ketua pergerakan penduduk haram Israel, ‘Nachala’ begitu kerap mendapat panggilan telefon daripada Benjamin Netanyahu sehingga semasa hari penggambaran dia terpaksa berehat dan bercakap dengan Netanyahu seketika.
Dokumentari itu berakhir dengan sekumpulan penduduk haram Israel, termasuk ahli Knesset, menaiki bot untuk meninjau sebahagian kawasan Gaza yang dibom oleh pesawat udara rejim Zionis.
Di dalam dokumentari tersebut, tanpa segan silu mereka berkata jika Israel menang, mereka akan membina penempatan khas untuk penduduk Zionis.
Sumber: TRT World