Latest News

Stay updated with the latest developments and news


British bersama empat negara lain: Kanada, Australia, New Zealand dan Norway telah mengenakan sekatan terhadap dua menteri kabinet Israel berfahaman ekstremis iaitu Itamar Ben-Gvir (Menteri Keselamatan Negara) dan Bezalel Smotrich (Menteri Kewangan) atas dakwaan kerap menghasut keganasan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat.

Sekatan itu melibatkan pembekuan aset dan larangan perjalanan ke lima negara tersebut. Kedua-dua menteri terbabit juga merupakan penduduk di penempatan haram Yahudi di wilayah Tebing Barat yang dijajah. Menteri Luar Britain, David Lammy dalam kenyataan bersama dengan rakan sejawatnya dari empat negara lain berkata, Ben-Gvir dan Smotrich telah menghasut keganasan ekstremis serta pelanggaran serius terhadap hak asasi rakyat Palestin.

“Tindakan ini tidak boleh diterima. Inilah sebabnya kami mengambil langkah untuk mempertanggungjawabkan mereka sekarang,” kata kenyataan itu. Menteri Luar Israel, Gideon Saar menyifatkan tindakan lima negara itu sebagai melampau dan mengumumkan bahawa kerajaan Israel akan mengadakan mesyuarat khas awal minggu depan bagi membincangkan langkah balas.

Dalam satu majlis perasmian penempatan Yahudi baharu di Hebron Hills, Smotrich menyatakan rasa hina terhadap tindakan British, “Kami akan terus membina, dengan izin tuhan, tanpa gentar.” Pada masa yang sama, Amerika Syarikat (AS) turut mengumumkan sekatan terhadap satu pertubuhan hak asasi manusia Palestin serta lima badan amal lain di Timur Tengah dan Eropah atas dakwaan menyokong kumpulan militan Palestin termasuk HAMAS.

Bulan lalu, pemimpin British, Perancis dan Kanada mendesak Israel menamatkan sekatan bantuan ke Gaza dan memberi amaran akan bertindak jika serangan diteruskan. Britain turut menggantung rundingan perdagangan bebas dengan Israel atas dasar polisi melampau. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membalas dengan menuduh negara-negara Barat menyokong HAMAS dan berada di sisi sejarah yang salah.

Namun, lima negara menegaskan sekatan hanya ditujukan kepada individu yang menggugat keselamatan dan mengaitkannya dengan penderitaan di Gaza. Mereka menyuarakan keprihatinan terhadap penafian bantuan asas serta menolak pemindahan haram rakyat Palestin atau pengurangan wilayah Gaza.

Sumber: Reuters

Written by
Admin
Published on
June 12, 2025