Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Menurut laporan Anadolu pada Sabtu, kerajaan baharu Colombia mula mengambil langkah untuk memulihkan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan rejim Israel, sekali gus membatalkan dasar luar bekas Presiden Colombia, Gustavo Petro yang memutuskan hubungan dengan negara itu pada 2024.

Naib Presiden Colombia, Jose Manuel Restrepo mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Dua Hala Colombia-Israel serta rancangan menghantar delegasi rasmi ke negara haram Israel pada Oktober.

Restrepo mengatakan mekanisme baharu itu akan membuka peluang dalam bidang pelaburan, teknologi, inovasi dan pembangunan bakat Colombia.Beliau turut berkata pegawai Colombia telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar rejim Israel, Gideon Sa'ar dan delegasi Israel pada Jumaat, yang disifatkan sebagai permulaan kepada ‘fasa baharu’ hubungan kedua-dua negara.

Presiden baharu Colombia, Abelardo de la Espriella menyatakan hasrat untuk memulihkan hubungan diplomatik dan ekonomi sepenuhnya dengan rejim Israel. Beliau juga akan menarik balik campur tangannya dalam kes genosid Afrika Selatan terhadap rejim itu di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Langkah itu menandakan perubahan ketara daripada dasar Petro, yang memutuskan hubungan diplomatik dengan negara haram Israel pada Mei 2024 susulan peningkatan ketegangan berhubung serangan rejim ke atas Gaza.

Petro ketika itu mengatakan Colombia tidak boleh mengekalkan hubungan diplomatik dengan sebuah kerajaan yang melakukan genosid. Kerajaan Colombia kemudiannya menyertai kes yang dibawa Afrika Selatan di ICJ, dengan dakwaan rejim Israel melanggar Konvensyen Genosid di Gaza.Perubahan dasar Colombia turut berlaku selepas pilihan raya presiden yang sengit apabila De la Espriella menewaskan calon parti pemerintah, Ivan Cepeda dengan perbezaan kurang daripada satu mata peratusan dalam pusingan kedua pada 21 Jun.

Petro sebelum ini enggan mengiktiraf kerajaan baharu itu dan menuduh syarikat perisikan siber rejim Israel, BlackCore menjalankan operasi digital bagi mempengaruhi pengundi Colombia. Petro mendakwa BlackCore menggunakan ratusan ribu akaun palsu untuk memanipulasi pengundi dan menyebarkan maklumat mengenai dirinya serta Cepeda.

Bagaimanapun, pihak berkuasa pilihan raya Colombia menolak dakwaan tersebut, manakala misi pemerhati daripada Pertubuhan Negara-Negara Amerika (OAS) dan Kesatuan Eropah (EU) tidak menemui bukti manipulasi digital secara sistematik yang menjejaskan keputusan pilihan raya.

Dalam perkembangan berasingan, badan pemantau disinformasi Perancis, Viginum sebelum ini mendakwa syarikat rejim itu mengendalikan rangkaian akaun proksi yang diselaraskan bagi menyasarkan tokoh pro-Palestin dan mempengaruhi wacana politik di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu turut mengalu-alukan kemenangan De la Espriella dan menyatakan harapan agar hubungan antara kedua-dua negara diperkukuh.

Dengan penubuhan suruhanjaya ekonomi baharu serta rancangan lawatan rasmi ke negara haram Israel pada Oktober, kerajaan De la Espriella kini mula merealisasikan janji untuk mengubah semula dasar Colombia terhadap negara rejim itu kepada langkah konkrit.


Sumber: The Palestine Chronicle


Written by
Admin
Published on
August 10, 2026