Dana pencen terbesar Norway, Kommunal Landspensjonskasse (KLP) telah mengumumkan bahawa ia tidak akan berurusan dengan dua syarikat yang membekalkan peralatan kepada tentera Israel kerana peralatan itu berkemungkinan digunakan dalam genosid di Gaza.
“Pada Jun 2024, KLP dimaklumkan mengenai laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bahawa terdapat beberapa syarikat tertentu yang membekalkan senjata atau peralatan kepada tentera Israel dan senjata ini digunakan di Gaza,” kata Kiran Aziz, Ketua Pelaburan KLP dalam satu kenyataan.
Dua syarikat tersebut ialah Oshkosh Corporation, syarikat Amerika Syarikat (AS) yang memfokuskan kepada trak dan kenderaan tentera; dan ThyssenKrupp, firma industri Jerman yang mengeluarkan pelbagai produk antaranya lif, mesin industri dan kapal perang.
“Kesimpulannya, syarikat Oshkosh dan ThyssenKrupp telah melanggar garis panduan pelaburan kami,” kata kenyataan itu lagi. “Kami telah memutuskan untuk mengecualikan mereka daripada portfolio pelaburan kami.”
Menurut dana pencen itu, mereka mempunyai pelaburan bernilai AS$1.8 juta dalam Oshkosh dan hampir AS$1 juta dalam ThyssenKrupp sehingga Jun 2025.
KLP berkata ia telah menghubungi kedua-dua syarikat tersebut sebelum membuat keputusan. Oshkosh sendiri mengesahkan bahawa ia telah dan akan terus menjual peralatan yang akan digunakan oleh tentera Israel di Gaza, terutamanya kenderaan dan alat ganti.
ThyssenKrupp pula memaklumkan kepada KLP bahawa ia mempunyai hubungan jangka panjang dengan tentera Israel dan telah menyerahkan empat kapal perang jenis Sa’ar 6 kepada Tentera Laut Israel dalam tempoh November 2020 hingga Mei 2021. ThyssenKrupp juga berkata ia merancang untuk menghantar sebuah kapal selam kepada Tentera Laut Israel pada tahun ini.
Terdahulu, KLP menarik pelaburan daripada 16 syarikat, termasuk syarikat telekomunikasi Motorola selepas membuat kesimpulan bahawa syarikat-syarikat itu terlibat dengan penempatan haram Israel di Tebing Barat yang diduduki. Untuk rekod, ini bukan kali pertama dana pencen tersebut menarik pelaburan daripada syarikat yang dikaitkan dengan kemungkinan pelanggaran hak asasi manusia.
Pada musim panas lalu, KLP juga menarik pelaburan daripada syarikat AS, Caterpillar selepas jentolak keluaran mereka didapati diubah suai oleh tentera dan syarikat tempatan di Israel sebelum digunakan di wilayah Palestin yang dijajah.
Keputusan terbaharu ini selari dengan trend yang semakin ketara dalam kalangan dana pelaburan utama Eropah. Semakin banyak dana pelaburan Eropah memutuskan hubungan dengan syarikat Israel kerana penglibatan mereka dalam pembunuhan beramai-ramai di Gaza atau penglibatan dalam penubuhan penempatan haram di Tebing Barat yang dijajah.
Sumber: Quds News Network