Sebuah pasukan perunding Israel akan pergi ke Qatar pada Sabtu untuk memulakan semula perbincangan dengan HAMAS mengenai gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tawanan, lapor penyiar awam Israel pada Khamis.
Delegasi yang terdiri daripada pegawai Shin Bet dan Mossad ini telah diarahkan oleh ketua Shin Bet, Ronen Bar, untuk menyelesaikan fasa pertama perjanjian dan memulakan perbincangan mengenai fasa kedua.
Israel menjangkakan bahawa kumpulan pejuang Palestin akan mengeluarkan senarai tawanan pada Jumaat, sebelum pembebasan mereka yang dijadualkan pada hari Sabtu, menurut laporan tersebut.
Namun, pegawai di Israel menyuarakan kebimbangan bahawa kenyataan terkini Presiden AS, Donald Trump, mengenai rancangan untuk ambil alih Gaza dan memindahkan secara paksa rakyat Palestin boleh menjejaskan perbincangan.
Trump telah mencadangkan berulang kali sejak 25 Januari bahawa rakyat Palestin di Gaza sepatutnya diterima oleh negara-negara Arab serantau seperti Mesir dan Jordan – idea yang ditolak oleh negara-negara Arab tersebut dan pemimpin Palestin.
Perbincangan mengenai pelaksanaan fasa kedua perjanjian pada mulanya dijadualkan bermula pada hari Isnin, hari ke-16 gencatan senjata, namun ditangguhkan. Akhbar Haaretz memetik sumber yang tidak dinamakan dari rombongan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington menunjukkan bahawa Netanyahu tidak akan meneruskan fasa kedua kecuali HAMAS dihapuskan.
Sumber: Anadolu Ajansi