Delegasi daripada kedua-dua pihak, wilayah haram Israel dan Palestin, telah tiba di Doha, Qatar untuk menyertai rundingan baharu yang bertujuan mencapai gencatan senjata di semenanjung Gaza dan perjanjian pertukaran tahanan.
Pada Sabtu, kumpulan Jihad Islam Palestin (PIJ) mengesahkan bahawa delegasinya, yang diketuai oleh Setiausaha Agung Ziyad al-Nakhalah telah tiba di Doha bagi mengambil bahagian dalam rundingan lanjutan bersama para perantara Qatar. Kumpulan itu yang turut terlibat dalam rundingan bersama HAMAS dalam mencapai penyelesaian untuk menghentikan serangan Israel serta persetujuan pertukaran tahanan.
Sementara itu, delegasi Israel turut berangkat ke Doha pada Ahad bagi meneruskan rundingan tidak langsung dengan HAMAS. Delegasi tersebut terdiri daripada Penyelaras Kerajaan untuk Tahanan, Gal Hirsch; Penasihat Politik Perdana Menteri Israel, Ofer Falk; serta pegawai dari agensi perisikan Mossad dan Shin Bet.
Walaupun begitu, pejabat Perdana Menteri Israel pada Sabtu menolak pindaan yang dicadangkan HAMAS terhadap pelan gencatan senjata, menyifatkannya sebagai “tidak boleh diterima”. Difahamkan cadangan HAMAS merangkumi pembebasan berperingkat separuh daripada tebusan Israel yang masih hidup (10 orang) dan separuh daripada mayat (18 orang) dalam tempoh 60 hari.
Sebagai respons, rejim Israel dijangka membebaskan sebilangan besar tahanan Palestin dan memulakan pengunduran tentera secara berperingkat dari beberapa kawasan yang telah dipersetujui di Gaza.
Namun, masih terdapat perbezaan besar antara kedua-dua pihak. HAMAS menuntut pemantauan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke atas pengagihan bantuan kemanusiaan, jaminan keselamatan terhadap serangan baharu selepas tempoh 60 hari serta kejelasan mengenai senarai tahanan Palestin yang akan dibebaskan. Rejim Israel pula menuntut pelucutan senjata HAMAS dan pengusiran para pemimpinnya.
Menurut pegawai Israel, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijangka mengumumkan persetujuan gencatan senjata tersebut semasa pertemuannya dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington pada Isnin.
Sumber: Anadolu Ajansi, Middle East Eye, Times of Israel