.png)
Pusat Pembelaan Tahanan Palestin memberi amaran bahawa keadaan kesihatan Dr. Marwan Al-Hams, yang juga merupakan Pengarah Hospital Medan Kementerian Kesihatan Gaza semakin kritikal selepas berbulan-bulan dinafikan ubat penyakit jantung ketika ditahan di penjara rejim Zionis Israel.
Dalam satu kenyataan, pusat itu memaklumkan Al-Hams telah dinafikan akses kepada ubat penyakit jantung sejak Februari lalu. Beliau turut berdepan soal siasat berpanjangan, pengasingan, dasar kebuluran yang berterusan, pengabaian rawatan perubatan serta tidak dibenarkan berhubung dengan ahli keluarganya. Keadaan ini menyebabkan Al-Hams kehilangan kira-kira 20 kg sejak ditahan dan kini hanya berbaki sekitar 69 kg.
Pusat berkenaan menyifatkan tindakan penafian ubat yang diperlukan untuk merawat penyakit jantung sebagai satu bentuk penyeksaan secara perlahan dan pembunuhan yang ditangguhkan, lebih-lebih lagi apabila mangsa turut ditempatkan dalam keadaan tahanan yang tidak berperikemanusiaan.
Al-Hams ditahan tentera Israel pada 21 Julai 2025 ketika dalam perjalanan menjalankan misi perubatan berhampiran Hospital Medan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) di kawasan Al-Mawasi, selatan Gaza. Anak perempuannya yang juga seorang jururawat, Tasneem Al-Hams turut ditahan dalam operasi tersebut.
Pusat itu memaklumkan Al-Hams menjalani soal siasat selama 43 hari berturut-turut di Penjara Asqalan (Ashkelon), disoal siasat selama 1,000 jam dan tekanan psikologi. Keadaan itu, ditambah dengan penafian rawatan, makanan dan hubungan dengan keluarga, disifatkan sebagai layanan kejam yang bertujuan melemahkan beliau dari segi fizikal dan mental.
Menurut pusat itu, Al-Hams merupakan antara 18 doktor Palestin yang kini ditahan di penjara Israel, manakala ratusan lagi petugas kesihatan Gaza dilaporkan telah ditahan sejak Oktober 2023 dan mereka percaya bahawa layanan terhadap Al-Hams berkait rapat dengan peranannya yang aktif merawat mangsa-mangsa cedera sepanjang serangan rejim Israel ke atas Gaza.
Tambahnya, penahanan berterusan terhadap doktor dan petugas kesihatan Palestin merupakan sebahagian daripada usaha sistematik untuk melumpuhkan sistem kesihatan Gaza, bukan sahaja melalui serangan terhadap hospital dan kemudahan perubatan, malah dengan menahan tenaga perubatannya.
Pusat itu turut membandingkan nasib Al-Hams dengan Pengarah Hospital Kamal Adwan, Dr. Hussam Abu Safiya yang turut didakwa mengalami penderaan dan pengabaian ketika dalam tahanan Israel.
Sehubungan dengan itu, Pusat Pembelaan Tahanan Palestin menggesa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Médecins Sans Frontières (MSF), ICRC, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta badan hak asasi antarabangsa lain supaya campur tangan segera.
Mereka turut menuntut pemeriksaan kesihatan bebas, akses kepada perubatan, kebenaran untuk berhubung dengan keluarga dan peguam, pembebasan segera Dr. Marwan Al-Hams bersama petugas kesihatan Palestin lain serta siasatan antarabangsa terhadap layanan yang diterimanya ketika dalam tahanan.
Sumber: The Palestine Chronicle, Shehab News