
Enam tahanan reman yang juga merupakan ahli kumpulan protes yang diharamkan oleh kerajaan United Kingdom (UK), Palestine Action, kini melaksanakan mogok lapar di penjara. Mereka turut dilaporkan tidak menerima rawatan kesihatan yang mencukupi serta berdepan risiko kematian, menurut ratusan pakar kesihatan Britain.
Pada Khamis, lebih 800 doktor, jururawat, ahli terapi dan penjaga kesihatan menulis surat kepada Setiausaha Kehakiman Britain, David Lammy, memberi amaran bahawa tanpa tindakan segera, terdapat kebarangkalian tinggi belia warga Britain tersebut akan meninggal dunia di dalam penjara, walaupun belum pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan.
Para tahanan yang berusia antara 20 hingga 31 tahun itu ialah Qesser Zuhrah, Amu Gib, Heba Muraisi, Teuta Hoxha dan Kamran Ahmed. Seorang lagi, Lewie Chiaramello, melakukan mogok lapar separa dengan menolak makanan selang sehari kerana beliau menghidap diabetes.
“Secara ringkasnya, kesemua mereka sedang nazak,” kata James Smith, salah seorang doktor unit kecemasan merangkap pensyarah universiti kepada sidang media di London pada Khamis semalam. Beliau bercakap ketika bersama ahli keluarga beberapa orang tahanan, ahli politik yang menyokong mereka, peguam dan juga aktivis lain.
“Kesemua mereka kini berada di tahap kritikal,” tambahnya.
Kumpulan tersebut ditahan di lima buah penjara berasingan atas dakwaan penglibatan dalam tindakan ceroboh ke atas premis sebuah anak syarikat UK iaitu syarikat pertahanan wilayah haram Israel, Elbit Systems di Bristol serta sebuah pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) di Oxfordshire. Walau bagaimanapun, mereka menafikan semua pertuduhan yang dikenakan, termasuk pecah masuk dan rusuhan ganas.
Antara tuntutan aktivis mogok lapar pro-Palestin ini adalah pembebasan dengan jaminan segera, hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil serta pembatalan pengharaman terhadap Palestine Action. Mereka turut menuntut agar semua tapak Elbit Systems ditutup.
Lebih 20,000 orang telah menandatangani petisyen oleh kumpulan kempen Avaaz yang menggesa David Lammy agar segera campur tangan. Lebih 50 Ahli Parlimen, bersama ahli politik bebas berhaluan kiri, Jeremy Corbyn turut mendesak Lammy bertemu dengan peguam para aktivis berkenaan.
Pada Rabu lepas, bekas tahanan Guantanamo, Mansroor Adayfi, yang ditahan lebih 14 tahun tanpa pertuduhan turut menyertai mogok lapar sebagai tanda solidariti. Katanya, “Mogok lapar bukan pilihan pertama untuk membantah – ia adalah jalan terakhir. Kerajaan Britain mahukan aktivis lelaki dan wanita ini lenyap secara senyap.”.
Palestine Action telah diharamkan pada Julai lalu dan dilabel sebagai kumpulan pengganas, iaitu setaraf dengan kumpulan seperti ISIL (ISIS). Mereka ditahan kerana menyuarakan pandangan bahawa kerajaan UK turut bersubahat dalam jenayah perang yang dilakukan oleh rejim Israel.
Sumber: Al Jazeera