
Peguam Dr. Hussam Abu Safiya, Nasser Odeh, memaklumkan bahawa keadaan kesihatan anak guamnya semakin kritikal selepas dipindahkan ke unit soal siasat dan pusat tahanan bawah tanah Rekefet yang terletak di Penjara Nitzan, Ramla.
Peguamnya berkata beliau hampir tidak mengenali Abu Safiya ketika melawatnya pada 2 Julai lalu kerana doktor itu kelihatan terlalu lemah. Abu Safiya dibawa ke sesi pertemuan dalam keadaan tangan dan kaki bergari serta dikawal beberapa pengawal penjara bertopeng.
Susulan lawatan itu, Odeh bersama pertubuhan hak asasi Israel, Physicians for Human Rights (PHR) menggesa supaya Abu Safiya dipindahkan segera dari unit berkenaan, diberikan pemeriksaan perubatan bebas dan dibenarkan menerima lawatan kehakiman bagi menilai keadaan kesihatannya.
Menurut Odeh, Abu Safiya mengalami kesukaran bernafas dan bercakap, kerap hilang keseimbangan ketika duduk serta hampir pengsan sepanjang pertemuan. Beliau juga berada dalam tekanan psikologi yang serius dan takut bercakap secara terbuka kerana bimbang dikenakan tindakan balas.
Abu Safiya memaklumkan bahawa beliau dipukul oleh empat hingga lima pengawal penjara menggunakan belantan dan tukul besi selepas menghadiri prosiding rayuan di Mahkamah Agung Israel ketika ditempatkan dalam tahanan bersendirian di Penjara Ganot.
Beliau turut mendakwa dipukul hampir setiap hari sejak dipindahkan ke unit Rekefet sehingga beberapa kali tidak sedarkan diri, selain dinafikan rawatan perubatan yang sewajarnya.
"Ini mungkin kali terakhir kamu melihat saya. Mereka membawa saya ke sini untuk membunuh saya. Saya tidak nampak lagi peluang untuk terus hidup. Inilah penghujungnya," kata Abu Safiya.
Susulan itu, Odeh mengemukakan permohonan segera kepada Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) agar penderaan terhadap Abu Safiya dihentikan, selain menuntut beliau dipindahkan ke pusat tahanan lain dan diberikan rawatan perubatan yang sewajarnya.
Dalam masa sama, PHR turut menggesa pihak berkuasa rejim Israel membenarkan badan bebas melawat Abu Safiya serta menjalankan pemeriksaan kesihatan segera, sambil memberi amaran bahawa sebarang kelewatan boleh mengancam nyawanya.
Pegawai PHR, Naji Abbas menyifatkan keterangan Odeh sebagai antara testimoni paling mengejutkan sejak perang genosid di Gaza bermula. Beliau berkata, kes itu bukan sahaja menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan Abu Safiya, malah terhadap doktor dan petugas kesihatan Palestin lain yang masih ditahan tanpa pemantauan bebas.
PHR sekali lagi menggesa siasatan dijalankan terhadap dakwaan penyeksaan tahanan Palestin serta menuntut pembebasan tanpa syarat Dr. Hussam Abu Safiya dan petugas perubatan Palestin lain yang ditahan tanpa pertuduhan atau perbicaraan.
Sumber: The Palestine Chronicle