.png)
Pejabat Media Tahanan Palestin melaporkan keadaan terkini Dr Hussam Abu Safiya semakin parah. Beliau mengalami patah beberapa tulang rusuk selepas menjadi mangsa penderaan dan penyeksaan berulang kali ketika ditahan di Penjara Rekefet.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, pejabat itu memaklumkan bahawa Abu Safiya mengalami kecederaan serius selepas diserang secara kejam oleh pengawal penjara, termasuk dipukul menggunakan belantan, direnjat elektrik, ditembak peluru getah, dilepaskan gas pemedih mata serta diserang anjing polis.
Menurut kenyataan itu, 27 Julai lalu merupakan hari paling berat sejak beliau ditahan apabila menjadi mangsa penyeksaan paling tidak berperikemanusiaan sehingga menyebabkan beberapa tulang rusuknya patah.
Pejabat itu berkata keadaan kesihatan Abu Safiya terus merosot kerana beliau turut menghidap penyakit jantung, tekanan darah tinggi, sakit kronik pada leher, slip disc, hernia, masalah penglihatan, pening berterusan serta degupan jantung tidak menentu.
Mereka memaklumkan bahawa pihak penjara hanya memberikan ubat tahan sakit dan ubat tekanan darah walaupun keadaan kesihatannya memerlukan rawatan yang lebih menyeluruh.
Menurut kenyataan itu lagi, Abu Safiya sebelum ini turut dipukul menggunakan belantan sebaik dipindahkan ke Penjara Rekefet pada 24 Jun 2026 sehingga menyebabkan salah satu tulang rusuknya patah, sebelum terus menjadi mangsa serangan berulang kali.
Beliau juga dilaporkan ditempatkan dalam tahanan bersendirian selama 21 hari dalam keadaan yang disifatkan sebagai amat keras sehingga memburukkan lagi keadaan fizikal dan mentalnya.
Abu Safiya ditahan oleh tentera rejim Israel pada 27 Disember 2024 ketika sedang bertugas di Hospital Kamal Adwan di utara Gaza semasa operasi ketenteraan rejim Israel. Beliau kini ditahan di bawah klasifikasi ‘pejuang haram’ (unlawful combatant) yang membolehkan penahanan tanpa pertuduhan atau perbicaraan untuk tempoh yang panjang.
Sebelum ditahan, Abu Safiya dikenali sebagai Pengarah Hospital Kamal Adwan dan antara doktor yang aktif mendokumentasikan kemusnahan sistem kesihatan di Gaza sambil terus merawat pesakit meskipun hospital berkenaan berulang kali diserang tentera rejim Israel. Anak lelakinya turut terkorban dalam serangan dron rejim tersebut.
Dalam perbicaraan pada Jun lalu, Abu Safiya menggesa supaya beliau dibebaskan sambil menyifatkan penahanannya sebagai tidak adil dan sewenang-wenangnya. Peguamnya, Nasser Abu Awda berkata beliau dibawa ke mahkamah dalam keadaan bergari dan menegaskan bahawa anak guamnya hanya menjalankan tugas merawat orang awam mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Pejabat Media Tahanan Palestin menegaskan bahawa layanan terhadap Abu Safiya merupakan satu jenayah dan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa, selain meletakkan tanggungjawab penuh ke atas rejim Israel terhadap keselamatan dan nyawanya.
Sementara itu, beberapa pertubuhan hak asasi Palestin serta badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi menggesa pembebasan segera Abu Safiya serta menuntut beliau diberikan akses kepada rawatan perubatan bebas, sambil memberi amaran bahawa beliau hanyalah salah seorang daripada puluhan petugas kesihatan Palestin yang masih ditahan di penjara Israel.
Sumber: PALM Strategic Initiatives Centre, The Palestine Chronicle