
Pihak berkuasa rejim Israel membebaskan dua rakyat Syria, Hussam al-Safadi dan Marwan al-Karyan selepas hampir setahun ditahan susulan penahanan mereka di dalam wilayah Syria pada 2025.
Menurut laporan media tempatan Syria, kedua-duanya berasal dari wilayah Rif Dimashq dan Quneitra. Pembebasan itu menjadikan jumlah rakyat Syria yang dibebaskan rejim Israel dalam beberapa hari kebelakangan ini meningkat kepada empat orang, selepas dua lagi tahanan dibebaskan minggu lalu.
Hussam al-Safadi berasal dari bandar Beit Jann di Rif Dimashq dan merupakan bekas anggota tentera yang berpaling tadah daripada rejim Bashar al-Assad sebelum bekerja sebagai peniaga. Beliau ditahan ketika serbuan tentera rejim Israel di bandar tersebut pada 12 Jun 2025.
Sementara itu, Marwan al-Karyan ditahan pada 7 Julai 2025 ketika berusia 17 tahun semasa tentera rejim Israel menyerbu beberapa kampung di wilayah Quneitra. Operasi itu menyaksikan enam rakyat Syria ditahan, termasuk bapa saudaranya dan dua sepupunya yang sehingga kini masih berada dalam tahanan.
Direktorat Penerangan Quneitra memaklumkan pembebasan kedua-dua mereka hasil susulan pihak berkuasa Syria serta usaha berterusan untuk membebaskan tahanan dari wilayah berkenaan.
Menurut sebuah organisasi yang memantau operasi ketenteraan Israel di Syria, tentera rejim Israel telah menahan kira-kira 47 rakyat Syria antara 8 Disember 2024 hingga penghujung Jun 2026.
Seorang bekas tahanan turut mendedahkan bahawa beliau ditahan di Kem Tahanan Sde Teiman bersama beberapa lagi rakyat Syria yang lain. Menurutnya, mereka ditahan tanpa sebarang pembicaraan di mahkamah di bawah dakwaan ‘pejuang haram’, selain berdepan keadaan tahanan yang buruk serta bekalan makanan yang tidak mencukupi.
Sejak kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada Disember 2024, rejim Israel menganggap Perjanjian Pengunduran 1974 tidak lagi terpakai, sebelum memperluas kehadiran tenteranya di zon penampan di Bukit Golan yang diduduki. Sejak itu, tentera rejim Israel dilaporkan kerap melancarkan serbuan ke atas kawasan awam Syria serta operasi pencerobohan darat di wilayah berkenaan.
Sumber: al-Jazeera