
Sekurang-kurangnya empat rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara dan tembakan rejim Israel di Gaza pada Isnin, menurut pegawai kesihatan, ketika usaha diplomatik bagi mengekalkan pelan damai yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) diteruskan menerusi rundingan gencatan senjata di Kaherah.
Petugas perubatan memaklumkan bahawa seorang wanita terbunuh dalam serangan udara rejim Israel di bandar Zawayda di tengah semenanjung Gaza, manakala seorang lagi maut dalam serangan berasingan di Kem Nuseirat.
Pada hari yang sama, serangan udara rejim Israel yang menyasarkan bumbung sebuah bangunan di bandar Gaza telah mengorbankan dua lagi individu, termasuk seorang petugas perubatan dan anak lelakinya. Tentera rejim Israel mendakwa dua anggota HAMAS terbunuh dalam serangan berasingan di semenanjung Gaza kerana didakwa merancang serangan terhadap tenteranya, namun tidak mengemukakan butiran lanjut.
Perkembangan itu berlaku ketika utusan Lembaga Keamanan (BOP), Nikolay Mladenov dijangka tiba di Kaherah pada Isnin bagi meneruskan usaha pengantaraan. Kehadirannya menyusul sehari selepas HAMAS menyerahkan maklum balas terhadap Pelan 15 Perkara yang dikemukakan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Menurut sumber yang rapat dengan proses pengantaraan itu, HAMAS dan beberapa kumpulan Palestin lain telah bersetuju dengan hampir keseluruhan cadangan berkenaan, kecuali isu pelucutan senjata HAMAS. Gerakan itu dilaporkan mengaitkan perkara itu dengan keperluan pengunduran tentera rejim Israel dari Gaza serta pembukaan laluan politik ke arah rundingan penubuhan negara Palestin.
Bagaimanapun, gencatan senjata yang diusahakan Trump pada Oktober 2025 gagal menghentikan serangan rejim Israel di Gaza dan tidak berjaya memastikan pelucutan senjata HAMAS.
Rejim Israel dan HAMAS masih berdepan kebuntuan berhubung pelaksanaan fasa seterusnya pelan damai Gaza yang dicadangkan Trump, yang antara lain menggariskan pelucutan senjata HAMAS dan pengunduran tentera rejim Israel.
HAMAS dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, pemimpin pelbagai kumpulan Palestin yang mengadakan perbincangan dengan negara pengantara, iaitu Mesir, Qatar dan Turkiye di Kaherah sepanjang minggu lalu, menegaskan bahawa rejim Israel perlu mematuhi sepenuhnya dan tanpa syarat semua terma perjanjian gencatan senjata. Menurut HAMAS, kegagalan mencapai perjanjian menyeluruh bagi menamatkan konflik di Gaza berpunca daripada keengganan rejim Israel melaksanakan komitmen yang dipersetujui dalam fasa pertama perjanjian pada Oktober lalu.
Rejim Israel juga masih menduduki lebih separuh daripada wilayah Gaza, selain mengarahkan penduduk berpindah keluar dan memusnahkan sebahagian besar struktur bangunan yang masih berbaki.
Sumber: Reuters