Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Rabu menegaskan bahawa kerajaan haram Israel terus meningkatkan serangan ke atas semenanjung Gaza dan Tebing Barat meskipun gencatan senjata telah dikuatkuasakan.


Dalam ucapannya semasa menghadiri majlis iftar Ramadan, Erdogan berkata: “Walaupun gencatan senjata pada 10 Oktober 2025 turut dicapai hasil usaha sama Türkiye, kerajaan haram Israel yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa terus memperhebat serangannya ke atas Gaza dan Tebing Barat.”


Beliau menjelaskan bahawa operasi ketenteraan Israel mengancam kestabilan seluruh rantau ini dan menyatakan bahawa Ankara memantau dengan penuh kebimbangan tentang usaha Israel untuk mewujudkan realiti baharu di Tebing Barat. Usaha itu termasuk peluasan penempatan haram serta pelaksanaan kedaulatan undang-undang ke atas wilayah Palestin dan menurutnya, tindakan tersebut merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap piagam antarabangsa.


Erdogan turut menegaskan keperluan masyarakat antarabangsa untuk segera bertindak memberi tekanan kepada Tel Aviv bagi memastikan pematuhan penuh terhadap gencatan senjata. Beliau menambah bahawa Turkiye akan terus menggiatkan usaha diplomatik di semua peringkat bagi memastikan kerajaan yang disifatkannya sebagai melanggar undang-undang itu dipertanggungjawabkan atas jenayah terhadap rakyat Palestin. Beliau turut menjamin bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan tanpa sebarang halangan atau syarat.


Tambah beliau lagi, “Saudara-saudara kita di Gaza berbuka puasa di bangunan yang telah musnah di tengah runtuhan, namun tetap tidak tunduk kepada kezaliman. Mereka sedang menunjukkan contoh yang patut diteladani oleh seluruh umat Islam melalui keimanan mereka.”


Sementara itu, Pusat Hak Asasi Manusia Gaza pada 22 Februari menyatakan bahawa seramai 642 rakyat Palestin telah terkorban sejak perjanjian gencatan senjata di Gaza pada Oktober 2025 lalu, dengan mendakwa tentera rejim terus melanggar perjanjian tersebut setiap hari melalui operasi pembunuhan yang dijalankan.


Rejim Israel telah melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza pada 7 Oktober 2023, yang setakat ini telah mengorbankan lebih 72,000 rakyat, yang kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 171,000 yang lain.


Sumber: Shehab News, TRT World

Written by
Admin
Published on
February 26, 2026