Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengecam tindakan Israel yang menurutnya mengancam kestabilan global dan membandingkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan diktator Nazi, Adolf Hitler.


“Netanyahu dan Hitler melalui jalan kemusnahan yang sama,” kata Erdogan dalam ucapan perasmian Sidang Kemuncak Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-51 di Istanbul.


Erdogan menyifatkan serangan Israel terhadap Gaza, Lubnan, Yaman, Syria dan Iran sebagai satu tindakan penjenayah. 


“Ini bukan pertahanan, ini adalah keganasan yang ditaja negara,” tegasnya lagi.


Presiden Turkiye itu juga mengecam sokongan negara Barat terhadap Israel dan berkata keyakinan Israel untuk bertindak agresif berpunca daripada lampu hijau yang diberikan oleh sekutunya.


Erdogan turut memberi amaran bahawa Israel sedang berusaha membentuk semula rantau Asia Barat berdasarkan pelan geopolitik tersendiri yang digelarnya sebagai Sykes-Picot baharu, merujuk kepada perjanjian penjajahan wilayah Arab oleh Barat selepas Perang Dunia Pertama. 


“Turkiye tidak akan membiarkan perkara ini berlaku,” katanya tegas.


Mengenai Iran, Erdogan menyatakan bahawa Tel Aviv menyerang ketika Iran masih terlibat dalam rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat (AS). 


“Iran berhak mempertahankan rakyatnya dan itu adalah hak kedaulatan negara,” ujarnya.


Beliau menegaskan bahawa Israel meraih manfaat daripada perpecahan negara-negara Islam sambil menyeru negara anggota OIC agar bersatu dan bersuara menentang jenayah Israel. Katanya, berdiam diri terhadap pencerobohan Israel hanya menggalakkan peluasan serangan wilayah haram itu ke seluruh rantau.


Terdahulu, Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan turut membuat kenyataan tegas: “Tiada isu Palestin, Lubnan, Syria, Yaman atau Iran. Masalah sebenar adalah Israel.”


Beliau memberi amaran bahawa serangan tidak terkawal terhadap Iran boleh mencetuskan krisis keselamatan di peringkat serantau dan global sambil menyeru tindakan segera diambil bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk.

Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
June 23, 2025